KUANTAN – Seramai 42 pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Bentong sebulat suara menyokong Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bergabung membentuk kerajaan negeri.
Mereka juga menyokong Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kekal menjawat sebagai Menteri Besar Pahang.
Wakil pengerusi JPKK daerah itu, Mat Rozi Omar menyokong mengekalkan Wan Rosdy bersandarkan komitmen dan kejayaannya memajukan ekonomi negeri dari segi kutipan hasil.
“Sebenarnya Wan Rosdy tidak wajar dipersalahkan kerana tsunami yang berlaku bukan hanya di Pahang malah seluruh negara.
“Kami yakin dengan kepimpinan beliau mampu untuk terus mentadbir negeri ini seterusnya membawa kestabilan dan kemakmuran menerusi kerajaan gabungan BN-PH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam konteks pasca Pilihan Raya Umum Ke-15, tumpuan utama harus diberikan kepada mewujudkan kerajaan negeri yang stabil dan mampu membela kebajikan rakyat, katanya.
Sokongan itu diberi walaupun masih belum ada keputusan mengenai kerjasama pembentukan kerajaan negeri setakat ini.
Kesemua 42 pengerusi JPKK dan JKKR Bentong terbabit berpandangan bahawa Wan Rosdy mampu membawa negeri ini ke arah yang lebih baik walaupun kerajaan negeri gabungan BN-PH. – MalaysiaGazette