Seekor harimau akar berjaya ditangkap selepas pihak Perhilitan Pahang berjaya menembaknya dengan ubat pelali dalam kejadian malam semalam di Kampung Sentang Pagar Sesak, Lipis

LIPIS – Seekor harimau akar yang mencakar kening seorang wanita strok petang semalam berjaya ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor yang mengesahkan tangkapan tersebut berkata, kejadian yang mencemaskan itu dipercayai berlaku ketika harimau berkenaan sedang mengejar seekor kucing.

Harimau itu memasuki kediaman mangsa melalui pintu hadapan yang terbuka.

Terkejut dengan kehadiran harimau itu, suami mangsa bertindak menghalaunya, tetapi haiwan liar itu memasuki bilik yang dihuni isterinya lalu melompat ke atas katil.

Harimau berkenaan sempat mencakar kening, Faridah Ishak, 58, menyebabkan wanita yang terlantar di atas katil itu alami luka namun telah mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Padang Tengku.

Semasa kejadian rumah berkenaan hanya dihuni oleh pasangan suami isteri itu sahaja.

Azli berkata, anak saudara mereka telah bertindak menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat  untuk memberi bantuan.

Namun, sebelum ketibaan bomba, penduduk kampung mengambil inisiatif mengepung harimau berkenaan yang berada di bawah rumah mangsa.

Pihak Perhilitan tiba jam 8 malam dan selepas empat jam, akhirnya harimau itu berjaya ditangkap selepas ditembak dengan ubat pelali.

Kucing yang dikejar oleh harimau berkenaan dilaporkan mati. – MalaysiaGazette

Penduduk terkejut harimau ‘berehat’ bawah rumah