KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna Oktober 2022 susut kepada 4.0 peratus berbanding 4.5 peratus pada bulan September.

Kadar ini, bagaimanapun masih lagi melepasi purata inflasi negara bagi tempoh Januari 2011 hingga Oktober 2022 (2.0%).

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan menyederhana inflasi Oktober 2022 telah didorong oleh peningkatan perlahan kumpulan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain yang telah mereda kepada 1.5 peratus berbanding 4.0 peratus pada September 2022.

Peningkatan perlahan ini disumbangkan oleh ketiadaan pengaruh kesan asas susulan penamatan diskaun elektrik di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang bermula Julai hingga September 2021.

Namun begitu, inflasi kumpulan makanan & minuman bukan alkohol terus menunjukkan peningkatan sebanyak 7.1 peratus berbanding 6.8 peratus yang dicatatkan pada bulan September 2022.

Terdapat item makanan yang menunjukkan momentum peningkatan yang lebih perlahan berbanding September 2022, antaranya ialah subkumpulan sayur-sayuran meningkat 4.8 peratus berbanding 6.3 peratus dan minyak & lemak meningkat 2.6 peratus berbanding 3.8 peratus pada September 2022.

Selain daripada kumpulan makanan, kesemua kumpulan lain juga terus merekodkan peningkatan kecuali komunikasi yang kekal tidak berubah berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Restoran & hotel meningkat 6.8 peratus diikuti oleh pengangkutan (5.2%); hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (4.1%) dan
perkhidmatan rekreasi & kebudayaan (3.4%).

Sementara itu, pelbagai barangan & perkhidmatan turut mencatatkan peningkatan sebanyak 2.4 peratus; perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (1.5%) dan pendidikan (1.4%).

Kedua-dua kumpulan kesihatan dan minuman alkohol & tembakau masing-masing merekodkan kenaikan sebanyak 1.0 peratus dan 0.8 peratus, manakala pakaian & kasut meningkat secara marginal sebanyak 0.4 peratus berbanding Oktober 2021.

Mohd Uzir menambah, ayam yang mempunyai wajaran terbesar dalam subkumpulan daging (46.1%) telah menunjukkan peningkatan
sebanyak 4.8 peratus berbanding 3.7 peratus pada bulan September 2022.

Purata harga ayam standard di Semenanjung Malaysia pada bulan Oktober 2022 meningkat kepada RM9.46 sekilogram berbanding RM9.17 sekilogram pada September 2022, melebihi harga kawalan yang ditetapkan oleh kerajaan (RM9.40 sekilogram).

Selain itu, daging itik mencatatkan peningkatan 10.8 peratus berbanding 10.4 peratus pada bulan sebelumnya.

Subkumpulan Sayuran-sayuran menunjukkan kenaikan purata harga tahun ke tahun di kebanyakan negeri pada Oktober 2022 adalah Bendi (14.8%) dengan purata harga RM8.71 sekilogram (Oktober 2021: RM7.37), cili merah segar (12.2%) dengan purata harga RM17.58 sekilogram (Oktober 2021: RM14.10), kubis bunga (10.6%) dengan purata harga RM10.84 sekilogram (Oktober 2021: RM8.98), kacang panjang (10.5%) dengan purata harga RM7.55 sekilogram (Oktober 2021: RM6.58) dan kangkung (10.3%) dengan purata harga RM5.19 sekilogram (Oktober 2021: RM4.48).

Sementara itu, peningkatan subkumpulan beras, roti & bijirin lain adalah disumbangkan oleh peningkatan tepung gandum yang meningkat sebanyak 29.3 peratus (September 2022: 29.8%) dan roti sebanyak 15.0 peratus (September 2022: 14.1%).

Ppeningkatan susu, keju & telur disumbangkan oleh peningkatan telur asin (19.0%), susu pekat manis (17.1%) dan susu sejat (15.9%). Selain itu, ikan segar turut mengalami kenaikan sebanyak 3.4 peratus.

Kumpulan Pengangkutan menunjukkan peningkatan 5.2 peratus pada Oktober 2022 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya disumbangkan oleh subkumpulan pengurusan alat pengangkutan persendirian (5.6%).

Inflasi bagi tempoh Januari hingga Oktober 2022 meningkat 3.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya didorong terutamanya oleh
kumpulan makanan & minuman bukan alkohol (5.5%), pengangkutan (4.6%) dan restoran & hotel (4.6%).

Bagi perbandingan bulanan, kenaikan inflasi Oktober 2022 mencatatkan 0.2 peratus berbanding 0.1 peratus pada September 2022.

Mengulas tentang inflasi di peringkat negeri pula, Mohd Uzir berkata, tiga negeri menunjukkan peningkatan melebihi paras nasional 4.0 peratus adalah
Putrajaya (7.6%), Selangor (4.9%) dan Sarawak (4.3%).

Namun begitu, Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan peningkatan paling rendah sebanyak 2.3 peratus.

Kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasi makanan & minuman bukan alkohol dengan peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor (8.8%) diikuti
oleh Sarawak (7.8%), Pulau Pinang dan Putrajaya masing-masing sebanyak 7.6 peratus, Johor (7.3%) dan Sabah (7.2%).

Sementara itu, inflasi bagi kumpulan pendapatan di bawah RM3,000 meningkat 3.9 peratus daripada 124.3 pada Oktober 2021 kepada 129.1 pada
Oktober 2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast