Heroin seberat 40 kilogram yang berjaya dirampas daripada seorang suspek warga tempatan dalam serbuan khas pada Selasa lalu. Ihsan IPKKL

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dipercayai tokan dadah diberkas bersama lebih 41 kilogram dadah jenis heroin yang disorok dalam sebuah kereta di tepi jalan berhampiran sebuah rumah di Kampung Kubu Gajah Dalam, Sungai Buloh.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, suspek ditahan menerusi serbuan Selasa lalu oleh sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (JSJN IPK KL) bersama JSJN Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Operari khas Op Snowsho itu diadakan pada jam 5 petang, bertindak atas maklumat awam.

Lelaki berumur 34 tahun itu ditahan dalam sebuah kereta dengan keadaan mencurigakan, dipercayai sedang menunggu pelanggan yang mahu mendapatkan bekalan dadah tersebut.

“Hasil pemeriksaan menjumpai tiga kotak yang berisi 90 bungkusan dadah jenis heroin yang dianggarkan bernilai RM550,000,” katanya dalam kenyataan pada pagi tadi.

Suspek bergerak aktif sejak tiga bulan lalu dipercayai diperolehi dari Lembah Klang dan mampu menampung penggunaan lebih 80,000 orang pengguna.

“Sindiket ini mengedar dengan meletakkan bekalan dadah di dalam kereta tanpa dikunci untuk diambil oleh pembeli melalui arahan telefon oleh  pembekal pembekal manakala bayaran dibuat secara bank in setelah bekalan selamat diterima.

“Pihak JSJN KL masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti saki-baki ahli sindiket dalam pengedaran dadah tersebut,” jelasnya.

Menurut Azmi, ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati negatif dan tidak memiliki sebarang rekod narkotik atau rekod jenayah lampau.

Suspek masih bujang dan tidak mempunyai pekerjaan tetap serta menjadikan kegiatan pengedaran dadah sebagai punca pendapatan utamanya.

“Suspek telah direman selama tujuh hari bermula 23 hingga 29 November ini dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati,” ujarnya. -MalaysiaGazette