Keselamatan di dalam dan luar stadium nasional Bukit Jalil telah dipertingkatkan menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 antara JDT FC dan Selangor FC malam ini. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 80,000 penonton dijangka membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bagi memeriahkan perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC pada 9 malam Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaludin berkata, persiapan rapi daripada segi semua aspek membabitkan semua jabatan di bawah pentadbirannya telah dikerah bagi menjamin keselamatan di dalam dan luar stadium sebelum, semasa dan selepas perlawanan itu.

Katanya, pemeriksaan tubuh badan terhadap setiap penonton yang hadir akan dilaksanakan oleh pegawai keselamatan yang bertugas di setiap pintu masuk pada hari perlawanan.

“Sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan tubuh badan, beg serta barangan akan dilakukan di setiap pintu masuk dan juga selepas memasuki pekarangan stadium bagi mengelak mereka membawa barang-barang yang dilarang ke dalam stadium demi aspek keselamatan semua.

“Polis juga tidak akan bertanggungjawab terhadap barang larangan yang telah dirampas semasa pemeriksaan di pintu masuk ataupun di dalam perkarangan stadium.

“Barangan yang dilarang ke dalam stadium semasa perlawanan pada malam esok adalah termasuk mercun, bunga api, suar, topi keledar, laser pen, objek tajam, senjata, payung, tongkat, ‘powerbank’, botol air, pemetik api, mancis, rokok, dan rokok elektronik atau ‘vape’,” katanya dalam kenyataan pada pagi ini.

Tambah Zam Halim, pintu untuk penonton masuk ke dalam stadium akan dibuka bermula jam 5 petang dan orang ramai dinasihatkan agar menaiki pengangkutan awam bagi mengelak kesesakan jalan raya di kawasan stadium.

Justeru pada masa sama, beliau menasihati individu yang tidak berurusan ke SNBJ untuk menonton perlawanan akhir berkenaan supaya mengelakkan daripada menggunakan jalan di kawasan sekitar bagi mengurangkan kesesakan trafik.

Beliau menasihati pengguna jalan raya supaya mengamalkan sikap bersabar, berhemah dan bertolak-ansur ketika sedang memandu kenderaan mereka menuju ke stadium.

“Orang ramai juga tidak dibenarkan meletak kenderaan di bahu jalan di sekitar laluan keluar dan masuk ke stadium dan polis yang terlibat dalam tugas di lokasi akan mengenakan saman dan kenderaan pesalah akan ditunda serta merta.

“Menjelang perlawanan akhir esok, polis akan menutup jalan melibatkan beberapa laluan utama di sekitar SNBJ sebelum dan selepas perlawanan,” katanya.

Zam Halim juga memaklumkan penutupan jalan di kawasan stadium akan dilaksanakan bermula jam 4 petang melibatkan di sepanjang Jalan Barat dan Persiaran ISN manakala Persiaran ISN akan dijadikan jalan sehala dan untuk kenderaan berpelekat sahaja.

Katanya, sejurus selesai perlawanan itu nanti, jalan sehala itu akan diaktifkan dari Axiata Arena ke Puchong Link bermula jam 10.30 malam hingga selesai. – MalaysiaGazette