Mohd Fadzli Mohd Ramly. Foto MUHD NA'IM, 18 SEPTEMBER 2022.

KUANTAN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Mohd Fadzli Mohd Ramly menegaskan beliau masih bertanding untuk memenangkan PH di kerusi itu.

Justeru, kata Mohd Fadzly, tidak timbul isu beliau memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Johari Hussain pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.

“Saya terkejut dengan berita ini. Saya perjelaskan di sini bahawa saya masih calon PH yang akan bertanding di DUN Tioman.

“Nama saya masih dicatatkan dalam kertas undi,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette sebentar tadi.

Pagi tadi, media melaporkan bahawa Mohd Fadzli bersedia memberi laluan kepada calon BN di kerusi itu jika diarahkan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti.

Beliau dipetik berkata  perkara itu telah dibincangkan di peringkat Majlis Presiden PH, dengan mengambil kira situasi politik semasa di peringkat Pusat dan DUN Pahang.

Namun katanya setakat ini, belum ada sebarang kata putus dibuat.

“Setakat hari ini saya tidak dimaklumkan apa-apa secara bertulis atau secara arahan khususnya daripada Majlis Presiden terhadap kedudukan kita di sini.

“Jadi kita akan berkempen seperti biasa,” beliau dipetik berkata demikian dalam artikel terbabit.

Tidak mahu kenyataannya disalah erti, Mohd Fadzli petang ini menjelaskan perkara itu tidak perlu diperbesar-besarkan memandangkan ia belum dimuktamadkan pimpinan tertinggi parti.

“Pihak kami akan merujuk kepada sebarang arahan Majlis Presiden dan setakat ini tidak memberikan arahan berkaitan,” katanya lagi.

Untuk rekod, selain Mohd Fadzli dan Mohd Johari, turut bersaing pada pilihan raya itu ialah calon Perikatan Nasional (PN), Nor Idayu Hashim, Osman A.Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas).

PRU15 DUN Tioman ditangguhkan kepada 7 Disember ini, ekoran kematian calon PN, Md Yunus Ramli, 61 pada 3.30 pagi hari pengundian 19 November lepas, dipercayai akibat serangan jantung. -MalaysiaGazette