KUALA LUMPUR – Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) wajar meninggalkan Perikatan Nasional (PN) selepas menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.
Pandangan itu dilontarkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang berpendapat langkah itu adalah penyesuaian bagi manfaat kepada rakyat Sabah.
“Betul kata rakan MKT saya, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, “politik hari ini adalah politik adjustment. Penyesuaian ikut mana lebih bermanfaat.
“Lebih-lebih lagi untuk Sabah dan Sarawak. Hubungan pusat dan negeri amat penting. Maka amat wajar GRS menyertai Kerajaan Perpaduan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Mohd Puad, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang juga Timbalan Pengerusi GRS menegaskan, penyertaan parti itu dalam PN sudah tidak lagi relevan.
Manakala Pengerusi GRS, Datuk Hajiji Noor berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih tahu mengapa GRS menyokong Kerajaan Perpaduan, tambahnya.
“Justeru sebagai adjustment untuk kepentingan Sabah, amat wajar GRS tinggalkan PN tetapi kekal bekerjasama dengan Barisan Nasional di Sabah,” ujarnya. – MalaysiaGazette