Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 27 NOVEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) diberi tempoh dua minggu untuk mencerakin dan menelusuri implikasi berkaitan subsidi dan harga barangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tempoh tersebut sebaik sahaja anggota Kabinet dilantik dan menteri yang terlibat akan segera menguruskan kedua-dua isu tersebut.

“Saya beri tempoh dua minggu kerana sesuai dengan keputusan yang harus diambil oleh Jemaah Menteri. Saya dahulukan ini kerana saya anggap masalah kes sara hidup terlalu menyiksa sebahagian besar rakyat miskin.

“Saya beri notis dua minggu selesai pembentukan Kabinet kita dapat meneliti keseluruhan dasar dan kementerian yang ditugas menyediakan kertas akan memperbincangkan dengan semua (pihak) perbendaharaan, Bank Negara Malaysia dan sektor swasta sebelum diangkat ke jemaah menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022 di sini hari ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus antara yang hadir dalam mesyuarat yang sama.

Turut terlibat pegawai-pegawai daripada Jabatan Perangkaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 27 NOVEMBER 2022.

Menurut Anwar, isu subsidi yang tinggi seharusnya diberikan perhatian kerana ia bukan sahaja membabitkan peruntukan yang tinggi tetapi turut dimanfaatkan oleh golongan kaya dan pihak industri.

Antaranya termasuk beban susbsidi tarif elektrik berjumlah RM2.5 bilion.

“Saya tidak ada masalah dengan subsidi. Tapi dalam perbincangan kita melihat data yang penuh, isu subsidi ini harus bersasar.

“Jika tidak seperti harga minyak misalnya, subsidi itu dimanfaat oleh rakyat dan golongan kaya.

“Jadi perlu mencerakin, menelusuri seluruh implikasi dan bincang dengan sektor swasta, pelabur, supaya mereka faham subsidi tujuannya itu meringgankan beban rakyat miskin dan golongan kaya, industri tidak harus mengambil manafaat,” katanya.

Jelas Anwar, golongan kaya dan industri akan mendapat manfaat dalam bentuk lain.

Ini termasuk insentif untuk syarikat yang akan diperbaiki supaya tidak menjadi satu beban kepada kumpulan itu kerana mereka telah biasa dengan subsidi yang disediakan.

Anwar juga meminta Majlis Tindakan Sara Hidup Negara supaya melihat harga barangan di pasaran.

“Ditekankan masalah harga barang dan kos sara hidup. Saya ucap terima kasih kerana pihak industri telah menyediakan telur di pasaran dalam masa singkat.

“Saya ingatkan supaya kos dapat dikurangkan lagi. Ini termasuk langkah pertanian, FAMA mengambil langkah supaya harga tidak begitu rendah (berbanding) harga di pasaran,” Anwar.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast