Enam wanita GRO warga asing yang ditahan di sebuah pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen di Kepong semalam.- Gambar ihsan IPD Sentul.

KUALA LUMPUR – Sebuah pusat hiburan yang beroperasi secara haram digempur polis semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, hasilnya, enam wanita warga asing yang bekerja sebagai Pegawai Perhubungan Pelanggan (GRO) diberkas dalam Op Noda.

Katanya, semalam, satu serbuan telah dilakukan pihaknya dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur ke atas pusat hiburan tidak berlesen itu yang terletak di Taman Usahawan Kepong.

“Hasil dari serbuan yang dijalankan pihak polis telah menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 28 tahun yang merupakan penjaga premis tersebut.

“Pemeriksaan lanjut juga berjaya membawa kepada tangkapan enam wanita warga asing berusia antara 28 hingga 37 tahun yang dipercayai bekerja sebagai GRO di pusat hiburan tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Eng Lai, siasatan lanjut pasukan polis di tempat kejadian mendapati premis tersebut telah digunakan sebagai pusat hiburan dan menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa peralatan audio yang digunakan bagi tujuan hiburan dan sekeping resit perniagaan oleh premis berkenaan yang mula beroperasi sejak dua bulan lalu.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kerana menjalankan aktiviti pusat hiburan tanpa lesen perniagaan yang sah.

“Justeru, kesemua enam wanita warga asing yang ditahan itu turut disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen kerana menggajikan warga asing tanpa permit yang sah dan Seksyen 39b Peraturan Imigresen kerana kesalahan menyalahgunakan pas lawatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast