Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

PEKAN – Seperti kerajaan Persekutuan yang baharu dibentuk pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pembentukan kerajaan negeri Pahang juga adalah berlandaskan konsep Kerajaan Perpaduan.

Kesepakatan dicapai antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) buat pertama kali di negeri itu bagi memastikan pentadbiran demi pembangunan dapat diteruskan.

Menurut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, ia merupakan antara tiga perkara utama yang menjadi pertimbangan pihaknya setelah pelbagai rundingan secara bersama melibatkan gabungan blok politik.

“BN Pahang juga mendapati bahawa sebarang pilihan kerjasama mestilah dilakukan dengan mengambil kira keupayaan gabungan untuk membawa kestabilan kepada kerajaan negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Pada masa yang sama, kombinasi kerajaan negeri haruslah mencerminkan kemajmukan dan kepelbagaian yang menjadi kekuatan Negeri Pahang,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian dalam sidang media selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang di Istana Abu Bakar di sini hari ini.

Selain itu, Wan Rosdy berkata, keputusan tersebut juga membuktikan keterbukaan BN Pahang untuk bekerjasama dengan mana-mana blok sama ada PH atau pun Perikatan Nasional (PN) demi kebaikan rakyat.

Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai menegaskan, kerajaan negeri yang dibentuk mewakili dan akan berkhidmat untuk semua pihak.

“Saya akan memastikan segala sentimen politik dan perbezaan ideologi dikesampingkan dan satu-satunya perkara yang menjadi keutamaan semua pihak pada ketika ini adalah kestabilan dan kemakmuran Pahang,” katanya.

Sementara itu Wan Rosdy juga berharap blok PN yang akan menjadi pembangkang agar sentiasa tegas, objektif dan mampu menjalankan fungsi semak dan imbang.

Pembentukan kerajaan Negeri Pahang tertangguh selama sembilan hari ekoran keputusan PRU-15 pada 19 November lalu yang menyaksikan tiada mana-mana parti atau blok politik berjaya memperoleh majoriti mudah iaitu melebihi 22 kerusi daripada keseluruhan 42 kerusi DUN.

BN memperoleh sebanyak 16 kerusi, PN menang 17 kerusi dan PH berjaya memperoleh lapan kerusi DUN manakala DUN Tioman ditangguhkan pemilihannya pada 7 Disember ini. -MalaysiaGazette