Bekas juara Piala Dunia Sepanyol (2010) dan Jerman (2014) diundi dalam kumpulan sama untuk perlawanan Piala Dunia Qatar 2022

KUALA LUMPUR – Seramai 152 individu bookie pertaruhan perlawanan bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 ditahan polis.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, kesemua individu itu ditahan menerusi 129 serbuan hasil Ops Saga IX yang dilaksanakan bersempena temasya bola sepak terbesar dunia itu yang bermula 19 hingga 28 November lalu.

Katanya, Selangor merekodkan tangkapan tertinggi dengan 38 bookie ditahan menerusi 38 serbuan yang dilakukan diikuti Johor (29 bookie), Pulau Pinang (18), Sarawak (15), Kedah (12), Negeri Sembilan (11), Kuala Lumpur (7), Pahang (6), Sabah (6), Melaka (4), Perak (3), Kelantan (2) dan Terengganu (1).

“Hasil pemeriksaan ke atas kesemua bookie itu juga berjaya membawa polis kepada rampasan nilai had kredit dalam perisian berjumlah RM3.177 juta dan wang tunai RM113,140 dipercayai wang pertaruhan perlawanan bola sepak turut dirampas daripada mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, dalam operasi yang sama, polis turut merampas sebanyak 151 telefon bimbit, tiga komputer, lima komputer riba, dua tablet, dua router, 54 keping kad sim, 16 helai kertas catitan yang disyaki kertas pertaruhan dan 14 keping jadual perlawanan Piala Dunia Qatar 2022.

Katanya, fokus utama Op Soga IX adalah untuk mencegah dan membanteras kegiatan catit taruh tanpa lesen yang sah sepanjang kejohanan tersebut berlangsung.

“Ia juga bertujuan untuk menangkap sindiket mahupun individu yang bertindak sebagai bookie seterusnya mendakwa mereka di mahkamah mengikut peruntukan undang-undang di bawah Akta Pertaruhan 1953 dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan perjudian membabitkan bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 boleh menyalurkan maklumat melalui hotline WhatsApp Op Soga IX di talian 016-5773477. – MalaysiaGazette