KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Putrajaya membuat satu laporan polis di Balai Polis Presint 7 di sini mendesak polis menyiasat dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan ejen Israel.
Ketuanya, Ezam Zaidi yang membuat laporan polis pada pukul 1.10 petang tadi berkata, pihaknya telah mengenalpasti dua individu yang bertanggungjawab menularkan perkara itu dan menyifatka ia niat jahat itu terhadap Ahli Parlimen Tambun itu.
“Kami atas inisitatif AMK Keadilan Putrajaya sendiri tampil membuat laporan polis terhadap fitnah tentang PM kononnya beliau adalah agen lantikan Israel dalam pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri ke-10 tempoh hari.
“Umum kita tahu proses pelantikan Perdana Menteri telah berlangsung pada minggu lalu begitu lancar setelah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melalui Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja untuk pelantikan PM bagi membentuk kerajaan Persekutuan segera.
“Malangnya, kita lihat sebaik pelantikan Anwar selesai, tohmahan dan fitnah terus bermula dan berpanjangan dengan memainkan sentimen perkauman, agama sehingga menuduhnya sebagai agen Israel,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Ezam, perkara itu tidak boleh dipandang enteng dan dibiarkan begitu sahaja kerana ia melibatkan kedaulatan dan juga keselamatan negara.
“Kita tahu fitnah berkenaan membabitkan negara Israel yang kita tidak menjalin sebarang diplomatik langsung sehingga kini. Laporan polis ini dibuat sebagai tindakan mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas tanpa kompromi membuka kertas siasatan agar penyebaran fitnah oleh pihak tertentu itu dapat dihentikan serta merta agar fitnah tidak masuk akal dan tidak berasas ini tidak berlarutan lagi.
“Kita tidak mahu fitnah jahat ini menganggu gugat kelancaran perjalanan dan pentadbiran Perdana Menteri kita.
“Kalau kita lihat laporan polis ini dibuat terhadap individu yang tular menerusi audio di WhatsApp iaitu daripada Ustaz Hassan Saad yang audio mungkin daripada ceramah beliau yang dakwa kononnya Anwar dapat bantuan Israel.
“Satu lagi dari penularan fitnah sama dikesan dalam laman Facebook Perikatan Nasional for Malaysia juga membuat satu posting berkenaan Anwar dapat pertolongan (pelantikan sebagai PM) dan menjadi ajen kepada Israel yang turut mengandungi butiran maklumat muka surat berkenaan dibayar oleh siapa dan sebagainya,” ujarnya.
Tegasnya, segala maklumat dan dokumen itu telah dikumpulkan oleh pihaknya dan diserahkan kepada polis untuk membantu siasatan.
Lagi pun, katanya, laporan polis pada hari ini tidak sekadar berfokus kepada dua penama berkenaan sahaja sebaliknya juga meminta polis menyiasat mana-mana individu atau pihak yang membuat tuduhan kepada Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan. – MalaysiaGazette