Jentera parti Perikatan Nasional giat melakukan kerja-kerja memasang bendera menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bilik Gerakan Perikatan Nasional, Tambun, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 04 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Hanya Perikatan Nasional (PN) yang layak bercakap mengenai prinsip, kata Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Beliau menyifatkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kini semakin hilang arah tuju hanya kerana kuasa.

“Selepas PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15), rakyat sudah nampak betapa Pakatan Harapan dan Barisan Nasional rosak dan hilang arah tuju.

“Perasuah, penyamun, kluster mahkamah, dan pendendam kepada penjawat awam sudah berkumpul dalam satu kelompok. Mereka mengidamkan kuasa dan takhta sehingga prinsip dengan mudah dilempar ke tong sampah.

“Rakyat sudah nampak ketegasan kita dalam memperjuangkan prinsip. Hanya kita yang layak bercakap mengenai prinsip pada hari ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Mengulas lanjut beliau berkata, generasi baharu mahukan saf kepimpinan politik yang mendahulukan rakyat dan memperjuangkan prinsip.

“Generasi baru mahukan Malaysia yang benar-benar baru. Generasi baru mahukan saf kepimpinan politik yang mendahulukan rakyat dan berprinsip. PN mesti menggalas amanah tersebut dan memperjuangkan sebuah Malaysia baru yang makmur dan sejahtera untuk semua tanpa mengira agama dan bangsa,” tambah beliau.

Justeru katanya, PN adalah yang terbaik bagi menggantikan BN pada waktu ini apabila mendakwa meraih kepercayaan kaum Melayu dan bukan Melayu di kawasan bandar.

Dalam masa yang sama, Wan Saiful berkata, perikatan itu juga mampu menggantikan PH.

“PRU15 juga melambangkan kemunculan satu paksi baru dalam politik negara yang mengambil integriti dan semangat Islami sebagai tunjangnya.

“PN adalah tunjang utama paksi baru ini, dan kita perlu terjemahkannya menjadi paksi yang mencakupi rakyat berbilang kaum dan segenap lapisan umur,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast