KUALA LUMPUR – Semua pihak digesa supaya menghentikan pertikaian terhadap pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekaligus memberi tumpan kepada pembentukan negara yang stabil.
Gesaan itu dibuat Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang memberitahu, keutamaan bukan sahaja terhadap perpaduan sebaliknya sikap rasional untuk memulihkan negara.
“Tidak wajar kita terus pertikai pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM10.
“Ini kerana proses pelantikan telah selesai dan kuasa melantik seorang anggota Dewan Rakyat sebagai PM adalah kuasa mutlak baginda,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Annuar berkata, tumpuan harus diberikan kepada kerajaan yang mampu menunaikan tugas dan berkhidmat untuk rakyat dan negara.
“Hentikan pertikaian, perkasakan muafakat dan kerjasama,” ujar bekas menteri itu.
Menurutnya lagi, proses pemulihan yang dapat membangkitkan semula keutuhan negara perlu dicapai bagi mendepani cabaran ekonomi, sosial dan politik global yang mencabar.
Justeru, beliau meminta semua pihak untuk mendoakan agar semua 221 orang ahli Parlimen yang telah terpilih dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan sebaik mungkin.
“Semoga Parlimen Malaysia menjadi tempat suburnya amalan demokrasi berparlimen negara kita dengan nilai dan etika anggotanya yang boleh dibanggakan seluruh rakyat Malaysia,” tambahnya. – MalaysiaGazette