GEORGE TOWN – Indonesia menyediakan strategi ekonomi bagi memantapkan lagi hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Malaysia khususnya Pulau Pinang.
Konsul General Indonesia di Pulau Pinang, Bambang Suharto berkata, dalam Rancangan Pembangunan Jangka Sederhana (RPJMN) 2020-2024, republik itu telah menetapkan strategi pemulihan ekonomi selepas pandemik iaitu melalui pelaburan industri, perdagangan serta beberapa sektor lain.
Kata beliau, industri pembuatan merupakan salah satu sektor sokongan dalam pertumbuhan ekonomi Indonesia dan sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun termasuk semasa pandemik.
“Malaysia merupakan salah satu daripada 10 pelabur teratas di Indonesia dengan realisasi pelaburan dalam tempoh lima tahun terakhir (2017-2021) mencecah AS$6.76 bilion yang mana sektor sekunder menyumbang 34 peratus kepada jumlah realisasi pelaburan.
“Realisasi pelaburan sektor pembuatan di Indonesia dalam lima tahun terakhir (2017-2021) berjumlah lebih 1.3 trilion Rupiah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri forum pelaburan bertemakan ‘Melabur dalam Industri Pembuatan Indonesia’ di Hotel Wembley di sini.
Turut hadir Pengarah Promosi Asia Tenggara, Australia, New Zealand dan Wilayah Pasifik (AASP) di Kementerian Pelaburan/BKPM Saribua Siahaan dan Timbalan Kementerian Penyelarasan Hal Ehwal Maritim danPelaburan, Ferry Akbar Pasaribu.
Mengulas lanjut, Bambang berkata, forum itu dianjurkan bagi mempercepatkan pemulihan ekonomi di negara itu susulan pasca pandemik.
“Pulau Pinang dipilih sebagai lokasi acara kerana ia merupakan salah satu hab pembuatan terbesar di Malaysia selain diharapkan dapat meningkatkan kesedaran dan minat pelabur di negara ini melabur di Indonesia.
“Kita percaya sekiranya pelaburan dalam sektor pembuatan dilaksanakan ia akan memudahkan pelabur kerana terdapat 27,000 rakyat Indonesia mempunyai pengalaman kerja di sektor sama di negeri ini yang akan dimanfaatkan nanti.
“Mereka merupakan potensi sumber daya manusia yang boleh dimanfaatkan pelabur selain tidak perlu melakukan latihan intensif memandangkan sudah ada pengalaman kerja di sektor sama,” ujar beliau.
Sementara itu, Saribua berkata, selain Malaysia, pelabur dari China, Jepun serta Korea turut menunjukkan minat untuk pelaburan di Indonesia. – MalaysiaGazette