Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim bercakap kepada media pada Mesyuarat Ketiga Persidangan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-14 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 29 NOVEMBER 2022.

SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) tidak menolak kemungkinan  bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) untuk memenangkan calon masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri akan datang.

Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim berkata, ia susulan perkembangan politik di mana PH bekerjasama dengan BN untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan selepas PRU15 lalu.

“Itu kemungkinan besar, walaupun saya belum dapat sebarang arahan, tapi saya secara individu sebagai seorang senior dalam politik di Selangor, saya tengok perkembangan ini memang ke arah itu.

“Kebarangkalian itu besar dan akan wujud satu konsep atau landskap baharu di Selangor. Ia mungkin akan merangkumi satu kolisi yang lebih mantap.

“Ia juga akan merangkumi kepelbagaian Melayu, Cina dan India yang lebih lengkap, itu semua kemungkinan yang akan berlaku,” katanya kepada MalaysiaGazette di lobi Bangunan Annex, di sini, hari ini.

Beliau mengulas pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Raja-Raja Melayu di Istana Negara, Jumaat lalu.

Pelantikan Anwar juga setelah Dewan Tertinggi BN bersama 30 ahli Parlimennya yang memenangi PRU15 bersetuju untuk menamakan Pengerusi PH itu sebagai Perdana Menteri ke-10 dan menjunjung titah YDPA untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.

Ia susulan keputusan PRU15 pada 19 November lalu menyaksikan tiada satu pun blok politik memperoleh majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Pada PRU15, PH memperoleh 82 kerusi Parlimen, disusuli Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi, BN (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (6), Wairsan (3), Bebas (2), Parti Bangsa Malaysia (1) dan KDM (1).

Manakala Gerakan Tanah Air dan Parti Sarawak Bersatu pula gagal memperoleh sebarang kerusi Parlimen. – MalaysiaGazette