Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Tarif air bagi kategori bukan domestik dan khas di Pulau Pinang akan dinaikkan mulai 1 Januari depan.

Ia membabitkan rumah ibadat dan kebajikan, premis kerajaan, institusi pengajian tinggi (IPT) serta perkapalan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP), K. Pathmanathan berkata, pelarasan tarif air baharu bagi kedua-dua kategori itu telah diwartakan Kementerian Alam Sekitar dan ia bakal dikuatkuasakan di Pulau Pinang mulai 1 Januari tahun depan.

Bagaimanapun, katanya, bagi pengguna air domestik masih menikmati kadar tarif yang sama seperti biasa kecuali pengguna meter pukal domestik.

“Pelarasan ini dilakukan berdasarkan mekanisme penetapan tarif yang dibangunkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, iaitu mekanisme penetapan tarif sistematik, adil dan telus bagi memastikan industri perkhidmatan air negara mencapai kemapanan jangka panjang.

“Sebagai satu-satunya operator bekalan air di negeri ini, pelarasan tarif air amat penting bagi PBAPP supaya penaiktarafan infrastruktur bekalan air dapat dilaksanakan sekali gus dapat memenuhi permintaan bekalan air pengguna secara mapan.

“Oleh itu, pengguna kategori ini dijangka mengalami perubahan dalam bil air bulanan mereka bergantung kepada penggunaan air bulanan masing-masing,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Mengulas lanjut Pathamanathan berkata, dana tambahan yang diperoleh akan dilabur semula untuk perbelanjaan modal terutamanya untuk projek Pelan Kontingensi Air Mentah 2030 (RWCP 2030) PBAPP.

“RWCP 2030 telah dirancang dalam tempoh 2022 hingga 2025 melibatkan beberapa projek antaranya Fasa 2 Projek Naik Taraf Tangki Pemendapan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, Pakej 12A LRA Sungai Dua, paip agihan dari LRA Sungai Dua ke Butterworth dan paip agihan dari Macallum ke Bukit Dumbar.

“Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan untuk menggunakan sumber air dengan bijak dan juga dinasihatkan memasang peranti penjimatan air (WSD) di premis masing-masing bagi mengurangkan penggunaan air serta memastikan kelestarian.

“Pemilik perniagaan dan organisasi juga digalakkan mengambil bahagian secara aktif dalam program Pensijilan Aqua Save melalui laman sesawang Penang Green Council,” katanya. – MalaysiaGazette