Mah Hang Soon

KUALA LUMPUR – MCA berkata, parti itu telah dimaklumkan oleh pemimpin kanan Barisan Nasional (BN) bahawa parti komponen tersebut patut bersama Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan.

Ia berdasarkan kepada keputusan yang dibuat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) iaitu ‘No DAP & No Anwar’.

Situasi itu turut berlaku kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan laporan berita juga banyak menyiarkan sokongan GPS pada PN selepas mereka diberitahu BN bersetuju menyokong PN, kata Timbalan Presiden MCA, Mah Hang Soon dalam satu kenyataan.

Namun, beliau tidak menamakan pemimpin kanan BN yang dimaksudkannya itu.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab dakwaan bahawa MCA menyokong PN-Pas.

Tambahnya, mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang pertama kali diadakan selepas PRU15 pula memutuskan BN berkecuali dan kekal sebagai pembangkang.

“Dalam mesyuarat itu, Presiden MCA telah mencadangkan kepada mana-mana pihak yang telah menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menyokong mana-mana pihak hendaklah menarik balik serta-merta.

“Ekoran daripada itu, BN telah mengarahkan semua Ahli Parlimen BN supaya menarik balik SD sokongan tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. mula sokong lepas tu tarik balik . inilah yang buat pn tambah dendam . pak din dah sedia nak angkat sumpah dalam masa singkat supaya tidak bertangguh . macam pernah berlaku kali pertama dahulu. cara terburu2 itu satu teknik peniaga mengekalkan harga mahal dengan pelanggan nya . rupanya teknik pertama tak boleh dilakukan untok kali kedua . agong dapat kesan rupanya teknik ini termasuk jenis penipuan tersembunyi .

Comments are closed.