Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) perlu berhenti mengamalkan budaya politik fitnah dengan memberikan tumpuan sebagai pembangkang yang konstruktif.

Gabungan itu juga perlu hentikan daripada mengeluarkan sebarang pandangan atau kenyataan berbaur fitnah dan provokasi yang boleh mencetuskan salah faham serta ketegangan dalam kalangan rakyat.

Menurut Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil, sebagai rakyat Malaysia, semua pihak bertanggungjawab membina negara yang stabil dan harmoni.

Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) yang baharu menubuhkan Kerajaan Perpaduan dengan Barisan Nasional (BN) tetap konsisten dengan agenda perjuangan untuk mengangkat kebebasan bersuara.

Bagaimanapun, ujarnya, sesuatu pandangan itu mesti berasaskan kepada fakta betul supaya keharmonian dapat dipelihara.

“Jika tiada asas fakta yang betul, sesiapa sahaja dalam Kerajaan Perpaduan berhak meminta satu siasatan polis diadakan dan terserah kepadanya untuk mengambil tindakan mengikut undang-undang secara adil dan bebas.

“PH tidak mencampuri kuasa siasatan tersebut kerana kita sentiasa menjunjung prinsip keluhuran undang-undang.

“Sebagai contoh, kenyataan Timbalan Ketua Bersatu Shah Alam, Dr. Afif Bahardin yang mengkritik tindakan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menggesa polis mengambil tindakan terhadap calon PN Padang Serai, Azman Nasrudin, adalah wajar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas berhubung kenyataan Azman yang menuduh Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai “kerajaan zina” menunjukkan parti gabungan itu mengamalkan budaya politik fitnah.

Menurut Faiz, PN yang dianggotai Pas dan Parti Bersatu kini giat membawa budaya politik fitnah, di mana pimpinan utamanya termasuk Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memfitnah Anwar ejen Israel dan PH membawa agenda komunis.

Katanya, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menuduh PH membawa agenda Kristian.

“Maka, apa yang difitnah Azman bukan suatu yang pelik kerana kepala partinya juga begitu, ibarat ketam mengajar anaknya berjalan betul.

“Dakwaan  Afif kononnya PH hipokrit kerana meminta polis mengambil tindakan juga menunjukkan beliau tidak faham batas kebebasan bersuara yang dibenarkan undang-undang.

“Hak dan kebebasan rakyat negara ini dipandu oleh Perlembagaan Persekutuan. Perkara 10 (2) (a) menyatakan kebebasan bersuara bergantung kepada undang-undang,” ujar beliau.

Kata Faiz, pelbagai undang-undang statut digubal yang mengawal kebebasan bersuara itu demi menjaga keharmonian negara termasuk undang-undang fitnah di bawah Kanun Jenayah, hasutan di bawah Akta Hasutan, perkataan yang tidak menjelikkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia dan ketenteraman awam dan hubungan agama di bawah Kanun Jenayah.

Jelas beliau, walaupun diberikan kebebasan untuk bersuara, tetapi pandangan itu hendaklah tidak terkeluar dari perimeter undang-undang iaitu perlu berasaskan fakta yang betul supaya bertepatan dengan doktrin justifikasi atau komen adil dan berpatutan.

“Tetapi, sekiranya pandangan itu tidak berasaskan kepada fakta yang betul, ianya satu fitnah dan sudah pasti tertakluk kepada implikasi undang-undang.

“Menggunakan perkataan zina seolah menuduh Kerajaan Perpaduan ini sebuah kerajaan haram, sedangkan pelantikan Anwar dibuat mengikut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, di mana Yang di-Pertuan Agong percaya dengan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat kepada Anwar.

“Jadi, di mana haramnya kerajaan perpaduan ini? Begitu juga, fitnah berkaitan ejen Israel, agenda komunis dan kristian, apakah asas fakta betul yang disandarkan?,” tegasnya.

Beliau menegaskan, sehingga sekarang PH tidak menunjukkan apakah asas fakta tersebut dan sebab itu, ianya fitnah dan patut disiasat.

Selain itu, katanya, kenyataan Dr. Afif bahawa tiada tindakan oleh kerajaan PN berhubung kebebasan bersuara itu juga tidak benar.

“Ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, ramai anak muda disiasat kerana berhimpun membantah Langkah Sheraton.

“Aktivis Fahmi Reza juga disiasat polis dan Ismat Baharin dituduh di mahkamah kerana membuat hantaran Facebook yang mengandungi perkataan menjelikkan terhadap Datuk Zuraida Kamaruddin bekas Menteri di bawah kerajaan PN dahulu,” katanya. – MalaysiaGazette