Mehran Samak. Foto Twitter

TEHRAN – Seorang lelaki dilaporkan telah dibunuh oleh pasukan keselamatan di utara Iran, ketika penunjuk perasaan anti-kerajaan secara terbuka meraikan penyingkiran pasukan bola sepak negara daripada Piala Dunia.

Aktivis berkata, Mehran Samak ditembak di kepala selepas dia membunyikan hon keretanya di Bandar Anzali pada malam Selasa.

Video dari bandar lain menunjukkan orang ramai bersorak dan menari di jalanan.

Ramai rakyat Iran enggan menyokong pasukan bola sepak mereka di Qatar.

Media sekutu kerajaan menyalahkan pasukan musuh di dalam dan di luar Iran kerana memberi tekanan tidak adil kepada pemain berikutan kekalahan 1-0 mereka kepada Amerika Syarikat (AS) dalam perlawanan terakhir kumpulan.

Para pemain tidak menyanyikan lagu kebangsaan sebelum perlawanan pertama mereka, kekalahan 6-2 kepada England, sebagai tanda solidariti dengan penunjuk perasaan.

Tetapi mereka menyanyi pada perlawanan dengan Wales, yang mereka menang 2-0, dan pada pertarungan yang disifatkan  ‘politik’ ketika menentang AS.

Beberapa penunjuk perasaan melihat itu sebagai pengkhianatan terhadap perjuangan mereka walaupun terdapat laporan bahawa pasukan itu mendapat tekanan hebat daripada pihak berkuasa Iran.

Pergolakan di Iran bermula 10 minggu lalu berikutan kematian seorang gadis Mahsa Amini, 22, ketika dalam tahanan selepas didakwa tidak menutup rambut dengan sempurna.

Pihak berkuasa telah bertindak balas terhadap rusuhan yang didakwa disokong oleh pihak asing dengan tindakan keras.

Hak Asasi Manusia Iran yang berpangkalan di Norway mengatakan sekurang-kurangnya 448 orang telah terbunuh, termasuk 60 kanak-kanak.

Lebih 18,000 yang lain dilaporkan telah ditangkap. – Agensi