Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilantik Perdana Menteri ke-10.

ISKANDAR PUTERI – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilantik Perdana Menteri ke-10.

Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyampaikan ucapan itu pada pembukaan sidang keempat DUN Johor Ke-15 di Kota Iskandar hari ini.

“Tahniah diucapkan kepada Anwar yang dilantik Perdana Menteri Malaysia ke-10 selepas selesai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengangkat sumpah Perdana Menteri pada 24 November lalu di Istana Negara selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

PRU15 pada 19 November menyaksikan PH memperoleh 82 kerusi; Perikatan Nasional (PN-73); Barisan Nasional (BN-30); Gabungan Parti Sarawak (GPS-23); Gabungan Rakyat Sabah (GRS-6); WARISAN (3); Bebas (2), manakala Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.

Sementara itu, Mohd Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit turut mengucapkan tahniah kepada ADUN Benut ( BN), Datuk Seri Hasni Mohammad yang memenangi Parlimen Simpang Renggam pada PRU15.

Selain itu, ucapan tahniah turut dirakamkan kepada Ketua Pembangkang DUN Johor, Liew Chin Tong (Perling- PH) yang menang kerusi Parlimen Iskandar Puteri dan ADUN Simpang Jeram, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang menang di kerusi Parlimen Pulai. – MalaysiaGazette