Ronnie Liu

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek memohon maaf secara terbuka kepada Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor berhubung kekeliruan mengenai projek penebangan bakau melibatkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Ayer Tawar hari ini.

Ronnie Liu Tian Khiew mengaku projek berkenaan diluluskan semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dan bukan semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN).

“Saya ingin meminta maaf kepada Ketua Pembangkang (Datuk Rizam Ismail) kerana pada sesi lalu, beliau membangkitkan isu PKPS yang melibatkan kawasan pantai di kawasan DUN beliau.

“Dalam sesi itu, saya rasa saya percaya projek itu bukan diluluskan kerajaan PH tetapi selepas semakan didapati projek itu diluluskan oleh kerajaan PH. Jadi saya minta maaf,” katanya semasa sesi soal jawab sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Sebelum ini, Rizam merangkap ADUN Sungai Air Tawar pada sesi DUN lalu mempersoalkan kerajaan negeri yang didakwanya tidak mengambil inisiatif memulihkan tanah paya bakau yang sepatutnya dijadikan projek kelapa sawit secara besar-besaran.

Beliau berkata, ia melibatkan PKPS di kawasan Kampung Dato Hormat, Sungai Ayer Tawar sekitar tahun 2008.

Beliau mendakwa sehingga waktu itu, kawasan berkenaan dibiarkan selepas pokok bakau ditebang.

Kemudian bekas Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong menafikan kelulusan penebangan bakau diberikan selepas Pakatan Rakyat mentadbir.

Perkara berkenaan kemudian mencetuskan kekecohan dalam DUN apabila ADUN PH dan Barisan Nasional (BN) tuding menuding sesama sendiri. – MalaysiaGazette