Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini telah menetapkan 12 Mei tahun depan bagi tarikh perbicaraan kes penggubahan wang haram (AMLA) melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor.

Rosmah yang juga isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dibicarakan kes dakwaannya gagal menyerahkan penyata pendapatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan hari ini menetapkan perbicaraan selama 15 hari bermula 12 Mei 2023.

Tarikh yang telah ditetapkan ialah 12 dan 28 Mei, 30 Jun, 6,7, 27, 28 dan 31 Julai kemudian bersambung pada 1,2, 11, 24 dan 25 Ogos, 7 dan 8 September 2023.

“Tetapi tarikh-tarikh ini juga akan bergantung kepada keputusan rayuan Rosmah yang mahu saya (hakim) menarik diri dari mendengar kesnya,” katanya pada prosiding pagi ini.

Turut hadir prosiding pagi ini ialah peguam Rosmah, Datuk Geethan Ram Vincent dan Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tinn.

Untuk makluman, Rosmah telah membuat rayuan dua kali iaitu pada 14 Disember 2021 dan 25 April lalu bagi menolak permohonan agar beliau menarik diri daripada mendengar kes pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Hakim Mohamed Zaini merupakan hakim sama menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmah atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.

Rosmah disabitkan atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Sabitan dan hukuman itu yang diputuskan pada 1 September lalu bagaimanapun ditangguhkan sehingga pelupusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Ketika ini, Rosmah sedang berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018.

Rosmah didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.- MalaysiaGazette