IMBAS KEMBALI. Keadaan cabang Sungai Kim Kim lokasi di mana penemuaan tong disyaki mengandungi sisa kimia yang dibuang di Taman Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 18 MAC 2019.

ISKANDAR PUTERI –  Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan sejumlah RM113 juta  bagi penyelenggaraan sungai dan saliran bagi mengurangkan risiko kejadian banjir di negeri itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia  disalurkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Kekerapan banjir  telah menyebabkan kerosakan harta benda dan mengancam keselamatan orang awam, katanya.

“Untuk itu, sebanyak RM71 juta peruntukan melalui JPS serta PBT disediakan bagi tujuan pengurusan banjir dan saliran yang meliputi kerja-kerja penggalian dan mendalamkan sungai, membina rumah pam air, pembersihan kolam takungan banjir dan sistem amaran awalan banjir.

“Selain itu, sebanyak RM42 juta pula diperuntukkan kepada JPS bagi kerja-kerja penyelenggaran parit dan saliran dan RM 700,000 akan diperuntukkan bagi membeli pam bergerak untuk memudahkan operasi mengepam air banjir terutama di beberapa kawasan rendah yang sering dilanda banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan 2023) Penggal Persidangan Pertama DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar hari ini.

Jelas  Onn Hafiz lagi, berdasarkan semakan data terkini daripada JPS, terdapat 432 hotspot banjir yang telah dikenal pasti di seluruh negeri.

Selain inisiatif itu, Program Pemuliharaan Sungai turut diberi perhatian.

“Kerajaan negeri sentiasa prihatin dalam memelihara dan memulihara sungai-sungai agar berada dalam keadaan yang bersih.

“Untuk tujuan tersebut, sebanyak RM1.8 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja pemuliharaan Sungai Skudai dan Sungai Tebrau, projek Denai Sungai dan pelaksanaan Program 1 Daerah 1 Sungai.

“Pada tahun 2019, Sungai Kim Kim telah mengalami pencemaran yang kritikal. Justeru itu, peruntukan sebanyak RM300,000 disediakan bagi meneruskan usaha-usaha Pemuliharaan Sungai Kim-Kim agar ia terus lestari dan mengelakkan insiden pencemaran ini berulang kembali,” katanya.- MalaysiaGazette