Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng hari ini tampil menjawab spekulasi kononya beliau tidak tersenarai dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Ahli Parlimen Bagan itu menegaskan, isu sama ada beliau berada dalam Kabinet atau tidak bukanlah perkara utama kerana ia merupakan kuasa prerogatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya telah ditanya berulang kali oleh media mengenai spekulasi bahawa saya tidak berada dalam senarai.

“Sama ada saya berada dalam Kabinet atau tidak ia adalah perkara kedua, yang penting masa depan negara kita tidak boleh ‘dicuri’,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Guan Eng berkata, beliau bersedia berkhidmat dalam apa juga kapasiti selagi ia memenuhi kepentingan negara.

Jelasnya, apa yang lebih utama adalah Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Anwar akan terus berfungsi dan kekal stabil daripada kuasa pelampau yang cuba melemahkan dan menjatuhkannya.

Beliau turut menegaskan, PH berhak berada dalam kerajaan selepas memenangi kerusi terbanyak dan undi popular terbesar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

“Bersama-sama dengan Barisan Nasional (BN) dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak Kerajaan Perpaduan ini mempunyai majoriti yang jelas yang mewakili kehendak rakyat.

“Kerajaan hari ini mewakili bukan hanya satu kumpulan tetapi setiap rakyat Malaysia dalam masyarakat kita yang pelbagai,” tambahnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bagus DAP sudah berjaya menyucikan dan memaafkan dosa-dosa penyamun. Mungkin mereka sudah bertahubuat.

Comments are closed.