Graduan lelaki sebuah universiti awam memberi alasan mahu berehat bersama teman wanitanya di sebuah hotel di Ujong Pasir, Melaka awal pagi tadi selepas mengambil jubah konvokesyennya yang dijadualkan berlangsung Selasa ini.

MELAKA – Seorang graduan sebuah universiti awam di sini memberi alasan mahu berehat di hotel bersama teman wanitanya selepas mengambil jubah konvokesyen.

Itu alasan ketika mereka ditahan oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam satu operasi di sini awal pagi hari ini.

Bagaimanapun, Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, remaja berusia 22 tahun itu gagal mengemukakan dokumen pernikahan yang sah bersama pasangannya berusia 26 tahun.

Menurutnya, mereka adalah antara enam pasangan kekasih berusia antara 20 hingga 40 tahun yang ditahan sepasukan penguat kuasa JAIM dalam operasi cegah maksiat di sebuah hotel di Ujong Pasir di sini awal pagi tadi.

“Ketika pintu bilik diketuk pukul 1 pagi, wanita itu pada mulanya mendakwa menginap di hotel itu bersama rakan wanitanya namun setelah diperiksa didapati seorang lelaki sedang bersembunyi di bawah selimut dengan hanya memakai seluar pendek.

“Apabila disoal, lelaki terbabit mengaku menginap di situ untuk menyelesaikan beberapa perkara selepas mengambil jubah konvokesyennya yang dijadual pada Selasa ini,” katanya.

Che Sukri Che Mat

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengetuai operasi yang turut disertai Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri, Akmal Nadzim Abdullah.

Menurutnya, hasil soal siasat, wanita itu mengaku datang dari Gombak, Selangor untuk berjumpa dan menginap di hotel berkenaan bersama rakan lelakinya itu yang berasal dari Mantin, Negeri Sembilan.

Che Sukri berkata, semua enam pasangan yang ditahan dibawa ke pejabat JAIM untuk siasatan mengikut Seksyen 53 (1) dan (2) Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau 24 bulan penjara atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette.