Roslilawati Samsudin, mendaki Everest Base Camp, Nepal pada ketinggian 5,634 meter.

KUALA LUMPUR – Biar pun disahkan menghidap kanser payudara tahap empat namun ia bukan penghalang kepada ibu kepada tiga anak untuk mendaki Everest Base Camp, Nepal pada ketinggian 5,634 meter.

Roslilawati Samsudin, 45, berkata, latihan yang cukup serta pemikiran positif menjadi kekuatan utama untuk mencapai cita-citanya.

“Saya memotivasikan diri adalah saya tidak fikir banyak pada negatif side, i think more positif side. Kalau macam sakit itu anytime boleh tanpa mengira usia, saya, awak atau sesiapa pun boleh sakit. Jadi kita guna peluang dan keadaan yang kita ada sekarang, do the best.

“Kalau macam kanser dan rawatannya lain tak sama macam pesakit kanser di luar. Alhamdulilah dengan keadaan ini saya amat bersyukur. Basically dia punya cabaran memang berbeza dengan cancer surviver yang sebenarnya,” katanya.

Roslilawati Samsudin (tengah) disambut ibunya, Esah Mohamad (dua kiri) ketika Sambutan kepulangan Ibu Tunggal Pendaki Gunung Everest di Menara Cenderawasih AU3 Keramat, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 02 DESEMBER 2022.

Beliau berkata demikian selepas selamat tiba di kediamannya di Wangsa Maju dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan turut disambut oleh ahli keluarganya malam tadi.

Tambah Roslilawati, pendakian Everest Base Camp adalah pencapian paling terbaik dicatatkan sepanjang rekod pendakiannya lebih 10 tahun lalu.

Ditanya bagaimana tahap kesihatan sejak mengidap kanser yang dihadapi sejak 2019, Roslilawati berkata, sehingga kini beliau masih mengambil ubat dan menjalani kehidupan seharian seperti biasa bersama ahli keluarganya.

Roslilawati Samsudin (tengah) bersama ibu dan bapanya, Esah Mohamad (dua kiri) dan Samsudin Zakaria di Menara Cenderawasih AU3 Keramat, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 02 DESEMBER 2022.

Sementara itu, ibunya, Esah Mohamad, 73, rasa bangga dengan anak bongsu daripada dua beradik itu kerana berjaya menjadi wanita yang kuat dalam apa jua cabaran yang dihadapinya hingga mampu menawan gunung tertinggi di dunia seorang diri.

“Dulu saya nampak dia agak down sebab dapat tahu menghidap kanser tapi dia cuba lawan dan kuat semangat dengan pergi training. Perkara itu jadikan dia sentiasa sibukkan diri.

“Bila dia berjaya sampai Everest Base Camp tu, saya rasa sudah sampai had itu memang tabikla, seronok juga sebab sebagai dia perempuan, kecil pula orangnya dan tabah. Janji dia gembira dan saya pun seronok alhamdulilah, dia dapat sampai juga dekat situ,” ujarnya.

Samsudin Zakaria . Foto MUHD NA’IM, 02 DESEMBER 2022.

Manakala Samsudin Zakaria, 77, pula, sebagai seorang ayah beliau sentiasa berlapang dada dan akan memberi sokongan agar anak-anaknya gembira dengan apa yang dilakukan dalam kehidupan.

“Rasa susah hati itu sudah pasti sebagai orang tua tapi saya bangga dengan kegigihan dia untuk capai cita-cita menawan gunung yang tinggi dengan tahap kesihatan dia begitu.

“Saya sentiasa berlapang dada kalau dia nak buat apa pun tapi mestilah yang memberi manfaat pada diri dan kesihatannya. Paling penting dia mampu berdikari dan tidak menyusahkan orang lain,” jelasnya. – MalaysiaGazette