Pasangan beregu wanita negara M. Thinaah dan Pearly Tan

KUALA LUMPUR – Beregu wanita negara, Pearly Tan dan M Thinaah menerima insentif RM50,000 daripada 100PLUS menjelang Final Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Bangkok, Thailand Rabu ini.

Pengarah Perniagaan F&N Beverages Marketing Sdn Bhd Leong Wai Yin berharap insentif istimewa itu adalah tepat pada masanya untuk menaikkan semangat pasangan nombor satu negara, menjelang penutup musim siri Jelajah Dunia.

“100PLUS berharap insentif ini akan memberi lebih perangsang kepada Pearly dan Thinaah di Final Jelajah Dunia. Kami mengharapkan satu lagi aksi hebat daripada mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Pearly-Thinaah berjaya merangkul pingat emas dalam Sukan Komanwel 2022 selepas menumpaskan beregu England Chloe Birch-Lauren Smith 21-5, 21-8 di final.

Pasangan itu turut melakar sejarah sebagai beregu Malaysia pertama menjuarai Terbuka Perancis, menewaskan juara dunia dua kali Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun Oktober lepas.

Ini merupakan kejohanan kedua mereka dalam siri Jelajah Dunia BWF selepas memenangi Terbuka Switzerland, pada Mac tahun lepas.

Kejayaan Terbuka Perancis juga membolehkan mereka menerima insentif RM37,500 daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM). – MalaysiaGazette