Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Setiap pihak perlu memainkan peranan sebagai mata dan telinga kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengatasi isu kartel projek.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai berkata, tanpa maklumat disalurkan kepada agensi berkenaan sukar untuk SPRM mengambil tindakan selanjutnya dengan segera.

Tambah beliau, kegagalan melaporkan rasuah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 25 Akta SPRM 2009.

“Masyarakat tidak perlu takut untuk melaporkan kegiatan rasuah kepada SPRM kerana suruhanjaya ini akan sentiasa memastikan kerahsiaan maklumat yang diberi.

“Identiti pemberi maklumat juga akan dilindungi serta tidak boleh didedahkan kepada mana-mana pihak dalam apa jua keadaan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

“Laporan, aduan atau maklumat boleh disalurkan kepada mana-mana pejabat SPRM yang berdekatan, atau orang ramai boleh menggunakan tiga kemudahan platform aduan yang disediakan,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam masa yang sama katanya, pembongkaran melibatkan pemberian projek di sektor awam khususnya akan dapat menutup peluang melakukan rasuah khususnya projek mega melibatkan kepentingan awam.

“Ini kerana, sekiranya isu berkenaan tidak ditangani dari peringkat akar umbi, ia bukan sahaja akan mencalarkan imej penjawat awam secara menyeluruh malah akan menjejaskan pembangunan serta ekonomi negara dan akhirnya rakyat juga yang terpaksa menanggung kerugian,” tambah beliau.

Menurut beliau, SPRM komited membanteras gejala rasuah melibatkan banyak kes berprofil tinggi termasuk berkaitan kartel projek melibatkan nilai jutaan ringgit.

“Kes-kes berkenaan telah menarik perhatian ramai pihak kerana individu yang terlibat dalam isu tersebut bukan setakat kakitangan peringkat bawahan malah turut membabitkan pegawai berpangkat kanan di sektor awam serta pegawai penguatkuasa dengan penerimaan suapan berbentuk wang tunai dan barangan bernilai,” katanya.

Sebagai contoh, menurut beliau, SPRM pada Oktober lalu berjaya menahan 11 individu termasuk anggota polis dan penjawat awam kerana disyaki terlibat sindiket pengurangan saman trafik sejak 2016 sehingga kini melibatkan transaksi wang lebih RM5 juta.

Agensi berkenaan juga telah menyerbu pejabat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi menjalankan siasatan berkaitan kes projek tebatan banjir mega bernilai ratusan juta ringgit.-MalaysiaGazette