Mohd. Jafni Md Shukor

ISKANDAR PUTERI – Sebanyak 17 projek sakit dan tujuh projek terbengkalai telah dikenal pasti oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md Shukor berkata, antara projek sakit itu ialah Taman Setia Indah, Projek Taman Kota Jaya dan Taman Residensi Kota Tinggi.

“Kerajaan Negeri sentiasa bekerjasama membantu memulihkan projek perumahan sakit serta bertindak sebagai pemudah cara membantu pelikuidasi dan kontraktor penyelamat untuk berhubung dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi teknikal serta pihak yang berkepentingan.

“Hal ini dapat dilihat kerajaan Negeri memberikan komitmen dalam memantau serta memberikan kelulusan sehingga ke peringkat Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) dan penyerahan kunci.

“Ini melibatkan projek sakit Taman Setia Indah (639 unit) dan Projek Taman Kota Jaya (87 unit) dapat diselesaikan sehingga penyerahan kunci,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti, Hahasrin Hashim mengenai langkah yang diambil kerajaan Negeri dalam menangani isu projek perumahan sakit khususnya projek-projek yang berada di bawah kerajaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Mohd. Jafni yang juga ADUN Bukit Permai berkata, projek sakit yang bakal diselesaikan pada awal tahun hadapan melibatkan 625 unit di Taman Residensi Kota Tinggi yang dimajukan oleh pihak PR1MA.

Katanya, ini menunjukan komitmen kerajaan Negeri sangat penting dalam memastikan agensi-agensinyua dapat membantu menyelesaikan isu projek-projek sakit.

“Pihak KPKT juga turut mengambil tindakan menyenarai hitam pemaju-pemaju yang menyebabkan projek perumahan terbengkalai, yang terlibat dengan projek sakit, yang gagal membayar kompaun, pemaju-pemaju ingkar dan pemaju-pemaju perumahan tanpa lesen.

“Apabila disenarai hitam, pemaju dan ahli lembaga pengarah syarikat terbabit tidak boleh memohon lesen dan permit iklan dan jualan. Senarai pemaju-pemaju yang disenarai hitam turut dipaparkan dalam laman sesawang KPKT untuk rujukan pembeli dan pemegang taruh yang lain,” ujarnya. – MalaysiaGazette