Mohamad Sabu

PUTRAJAYA – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu mengakui ketiadaan tiga pemimpin partinya di Parlimen merupakan satu kehilangan yang amat dirasai.

Bagaimanapun, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, ketiadaan ketiga-tiga mereka iaitu Datuk Mahfuz Omar, Khalid Samad dan Datuk Seri Mujahid Yusof akan diganti dengan mereka yang juga mampu menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.

“Memanglah kita rasa kehilangan mereka di Parlimen terutamanya Khalid Samad yang agak lantang dan berani berhujah dalam apa hal sekali pun.

“Insya-Allah, yang baru mengganti ini akan mampu berhujah dengan baik di Parlimen,” katanya kepada media selepas menghadiri taklimat di kementeriannya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, kehilangan ahli Parlimen dalam pilihan raya merupakan perkara biasa.

Namun, katanya, kemerosotan itu tidak mungkin kekal kerana ia boleh bertambah pada masa akan datang.

“Itu pasang dan surut perkara biasa. Kini kita mengalami sedikit kemerosotan ahli Parlimen akan datang barang kali bertambah.

“Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri hanya tinggal satu kerusi sahaja pada tahun 2004, sekarang dia jadi perdana menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Kena fahamlah tu, tak pelik, kita tahu,” ujarnya.

Tiga nama besar dalam Parti Amanah itu tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

Ketiga-tiga mereka merupakan pemimpin tertinggi parti dengan Khalid adalah Pengarah Komunikasi sementara Mujahid dan Mahfuz adalah Naib Presiden Amanah.

Terdahulu, Mohamad hadir di pejabatnya di Wisma Tani di sini dan mengetik kad perakam waktu pukul 1.33 petang.

Beliau kemudian meninjau pejabatnya di Aras 17 di bangunan berkenaan sebelum menghadiri taklimat bersama kepmimpinan tertinggi kementerian.

Ketibaan beliau disambut Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Haslina Abdul Hamid, Datuk Badrul Hisham Mohd dan Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Zahimi Hassan. – MalaysiaGazette