Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya meraikan 7,863 graduan dalam Istiadat Konvokesyen Ke-62 dalam 15 sidang bermula hari ini hingga 12 Disember 2022.

Pembukaan sidang pertama Istiadat Konvokesyen Ke-62 yang berlangsung pada hari ini telah diisytiharkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, Canselor, Universiti Malaya.

Antara aktiviti-aktiviti istimewa yang telah berlangsung pada hari pertama Istiadat Konvokesyen adalah pengurniaan gelaran Ijazah Kehormat kepada tokoh sejarawan negara, Profesor DatukWang Gungwu, pengurniaan gelaran Profesor Emeritus kepada Profesor Dr. Saedah Siraj, pengurniaan Anugerah Pelajaran Diraja kepada dua orang penerima dan pengurniaan Ijazah Kedoktoran kepada 479 orang graduan dari pelbagai fakulti/akademi/pusat/institut.

Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Datuk Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor dalam ucapannya berkata, istiadat kali ini akan menganugerahkan ijazah dan diploma kepada 7,863 graduan.

Daripada jumlah tersebut, seramai 479 graduan ijazah kedoktoran, 2,225 graduan ijazah sarjana termasuk diploma pascasiswazah pendidikan, 3,926 graduan ijazah sarjana muda, dan 1,233 graduan diploma lanjutan, diploma eksekutif dan diploma.

Universiti bukan sahaja berperanan untuk melahirkan graduan holistik dan berkeupayaan tinggi, namun keperluan untuk menyuntik sistem pembelajaran dan pengajaran berasaskan nilai dan kapasiti futuristik dalam membentuk modal insan komprehensif dalam memacu kelestarian pembangunan negara menjadi tonggak utama dalam menerajui era pendidikan dan pengajian tinggi yang baharu.

‘Universiti adalah wadah dan tunjang utama kepada pembentukan sistem dan kapasiti berorientasikan parameter dan anjakan masa depan yang menuntut perancangan dan model baharu. Ini termasuklah memperkasa jalinan dan kelestarian impak penyelidikan dan keluhuran ilmu, sebagai perintis dalam usaha untuk melakar dimensi dan kepimpinan baharu dalam pentas penciptaan ilmu terutamanya dalam bidang kritikal dan berimpak tinggi.

”Bidang semikonduktor, sains aeroangkasa dan semesta, teknologi nano dan kuantum, kepintaran buatan serta sains data dan teknologi maklumat antara lain, telah menjadi daya saing pada masa kini

”Subungan dengan itu, diharapkan agar kesinambungan kecemerlangan Universiti Malaya diteruskan oleh saudara saudari, alumni Universiti Malaya. Sama ada saudara saudari akan berkhidmat di dalam atau di luar negara, berbanggalah dengan alma mater saudara saudari, harumkanlah nama Universiti Malaya, sumbangkanlah pengetahuan dan kemahiran yang saudara saudari miliki dan jangan pernah lupa akan alma mater ini dan asal usul saudara saudari,” kata Hamdi.

“Bawalah nama baik Universiti Malaya dan negara ke mana-mana sahaja saudara saudari berada. Selamat maju jaya kepada saudara saudari semua, semoga kejayaan saudara saudari pada hari ini menjadi kesinambungan kejayaan pada masa depan bangsa dan negara,” tambah beliau. – MalaysiaGazette