Azlan Nizam Ismail dan Ng Jia Shin.

KUALA LUMPUR – Azlan Nizam Ismail dan Ng Jia Shin dipilih sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Ke-62 semalam.

Anugerah itu disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, Canselor, Universiti Malaya.

Azlan Nizam Ismail, graduan Akademi Pengajian Islam berasal dari Sabah berkata, antara cabaran yang dihadapi sepanjang waktu pengajiannya adalah semasa Covid-19 melanda negara.

Dia yang terpaksa pulang ke Sabah ketika itu berdepan dengan cabaran getir apabila menghadapi kesukaran akses internet.

Selain itu, kediamannya mengalami gangguan elektri semasa menjawab soalan peperiksaan.

Namun, jerih-perihnya berbalas apabila dia bukan sahaja berada di atas pentas untuk menerima ijazahnya.

“Malah, ini kali pertama saya dapat membawa keluarga saya datang ke Semenanjung dan kedua ibu bapa saya dapat lihat sendiri kampus di mana tempat saya menimba ilmu, saya sangat terharu dan gembira keluarga saya bersama-sama saya pada hari ini,” katanya.

Sementara itu, Ng Jia Shin, graduan dari Fakulti Sains pula menasihatkan pelajar-pelajar yang kini sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya supaya terus gigih dan menamatkan pengajian masing-masing dengan cemerlang.

“Teruskan usaha sehingga dapat menjejakkan kaki ke Dewan Tunku Canselor ini,” ujarnya.

Anugerah Pelajaran Diraja merupakan penganugerahan hadiah sebagai dorongan kepada pelajar supaya sentiasa meningkatkan prestasi pembelajaran selaras dengan hasrat Majlis Raja-Raja Malaysia yang mementingkan mutu pembelajaran di mana ianya memerlukan persaingan sengit dalam era globalisasi yang kian mencabar.

Setiap tahun dua orang graduan yang dipilih menerima Anugerah Pelajaran Diraja akan menerima wang tunai, pingat emas dan sijil penghargaan.

Universiti Malaya pada tahun ini meraikan 7,863 graduan dalam Istiadat Konvokesyen Ke-62 dalam 15 sidang bermula 5 Disember hingga 12 Disember 2022. – MalaysiaGazette