Foto Facebook Jelatek Shopping Centre.

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Zamani tampil membuat persembahan pertama pada malam kelmarin selepas hampir sebulan menjalani pembedahan tulang belakang akibat penyakit scoliosis bulan lalu.

Menerusi perkongsian oleh isterinya, Nur Juliana Abd Rani, postur badan Zamani dilihat kembali normal dan sudah mampu bergerak aktif di atas pentas sambil melayani peminat.

Nur Juliana memberitahu, suaminya itu sudah kembali aktif selain turut berterima kasih kepada peminat yang hadir memeriahkan suasana majlis tersebut.

“Persembahan pertama selepas menjalani pembedahan tulang belakang. Terima kasih kepada CEO dan warga kerja DATUM kerana menjemput serta pengunjung-pengunjung yang hadir. Terima kasih kerana sudi hadir malam tadi,” tulisnya.

Perkara itu dikongsikan Nur Juliana menerusi Instagram miliknya yang turut memperlihatkan Zamani sedang menyanyikan lagu Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta.

Untuk rekod, Zamani menghidap penyakit scoliosis sejak 2015 dan keadaan dilihat semakin teruk apabila badannya tidak boleh berdiri tegak ekoran tulang belakangnya melengkung.

Penyanyi itu melakukan pembedahan membetulkan tulang belakangnya pada 7 November lalu di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette