Hannah Yeoh

PUTRAJAYA – Status Belanjawan 2023 untuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan diputuskan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, keputusan sama ada peruntukan untuk kementerian berkenaan diubah atau tidak terpulang kepada Anwar yang juga Perdana Menteri.

“Untuk Belanjawan 2023, kita kena tunggu arahan daripada Menteri Kewangan (Datuk Seri Anwar Ibrahim) iaitu Perdana Menteri.

“Itu bukan sahaja melibatkan KBS tapi semua kementerian juga (perlu tunggu),” katanya ketika sidang media di KBS hari ini.

Untuk rekod, Belanjawan 2023 yang dibentangkan kerajaan sebelum ini memperuntukkan RM332 juta untuk KBS bagi melaksanakan program latihan serta fasiliti sukan negara pada tahun hadapan.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM145 juta untuk kos menyelenggara, menaik taraf dan membina kemudahan sukan di seluruh negara.

Manakala RM20 juta untuk memberi peluang golongan  belia terlibat dalam sukan permotoran di platform yang betul melalui pembangunan litar drag serta RM13 juta untuk pembangunan e-sukan.

Dalam masa sama, sebanyak RM12 juta sepatutnya diperuntukkan untuk atlet pembangunan sukan Orang Kelainan Upaya (OKU).- MalaysiaGazette