Rosli Abdul Jabar

KUALA ROMPIN – Menjelang pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman esok, Barisan Nasional (BN) Pahang didakwa semakin terdesak untuk menang.

Menurut Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar, ia dapat dilihat menerusi tindakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang menyerahkan surat hak milik tanah kepada penduduk di sini semalam.

“Sebab sepatutnya kerajaan negeri Pahang boleh memberikan geran sebelum ini lagi. Kalau di Kampung Jawa Pantai itu, kita difahamkan 40 tahun mereka sudah memerintah.

“Kenapa pada waktu ini mereka beri. Kita merasakan bagaimana pihak BN begitu tertekan dengan situasi sokongan rakyat kepada Perikatan Nasional (PN), bukan sahaja di Tioman malah di seluruh negeri Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Khas Perikatan Nasional (PN) Pahang di sini hari ini.

Selain itu, Rosli turut menyifatkan strategi BN itu seperti tindakan rasuah dalam tempoh berkempen ekoran terdesak dengan pencapaian positif PN pada PRU15 secara keseluruhan baru-baru ini.

“Kenapa kita katakan seperti rasuah. Pada Pilihan Raya (PRU15), sebelum Allahyarham Yunus meninggal dunia, pada ketika itu tidak timbul pun isu tanah.

“Mereka (BN) tidak pun menawarkan pun pada rakyat hatta sekangkang kera tanah pun. Tiba-tiba waktu ini  mereka nak tawarkan. Mereka sangat tertekan sehingga sanggup beri tanah,” ulasnya.

Justeru, Rosli mahu rakyat khususnya di DUN Tioman melihat situasi di mana dalam keadaan PN kini mempunyai 17 kerusi DUN dan mereka berjaya memberi tekanan kepada BN.

“Jadi kita cadangkan kepada rakyat supaya beri kepada kemenangan kepada PN kerana insya-Allah akan lebih banyak lagi manfaat diperoleh rakyat daripada sifat tertekan BN ini.

“Apabila kita dapat 18 kerusi maka nanti akan menjadi lebih tekanan supaya kerajaan negeri beri lebih kepada rakyat,” kata Rosli.

Semalam, Wan Rosdy menyerahkan suratan hak milik kepada seramai 132 peneroka Felda Selendang 2 di sini membabitkan tanah kediaman dan juga pemilikan ladang kelapa sawit.

Manakala pada minggu lalu pula, penduduk di Kampung Jawa Pantai juga dijanjikan geran tanah yang belum diluluskan sejak lebih 40 tahun yang lalu. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Bersih sekarang rasanya sudah jadi BISU, mungkin tengah tunggu hendak jadi peguam negara atau TImbalan2 Menteri.

Comments are closed.