Gambar yang dikongsi Ismail Sabri ketika bertemu Presiden UAE Sheikh Mohamed September lalu.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersyukur syarikat Petronas Abu Dhabi Sdn Bhd menandatangani perjanjian dengan syarikat Emiriah Arab Bersatu (UAE) iaitu Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) hari ini.

Ismail Sabri berkata, projek tersebut telah dirintis oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda telah memulakan perbincangan awal dengan Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.

Ismail Sabri berkata, beliau telah berbicang mengenai projek secara empat mata dengan Sheikh Mohamed ketika lawatan ke negara itu September lalu.

Menurut beliau, ADNOC telah memberikan taklimat mengenai kerjasama dengan Petronas untuk meneroka sektor minyak dan gas serta tenaga boleh diperbaharui.

“Perkara ini juga telah dibincangkan dengan lebih mendalam ketika pertemuan empat mata di antara saya dan Yang Mulia Sheikh Mohamed. Baginda bersetuju supaya projek ini dipercepatkan.

“Alhamdulillah kerjasama ini telah dimuktamadkan. Menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong kerana memainkan peranan penting dalam projek bersejarah ini.

“Tanpa hubungan yang erat antara Yang di-Pertuan Agong dan Presiden UAE, projek ini tidak akan menjadi kenyataan,” kata Ismail Sabri dalam kenyataan.

Menurut bekas perdana menteri itu, sewaktu pentadbiran Kerajaan Keluarga Malaysia, Malaysia dan UAE bersetuju untuk meningkatkan hubungan sedia kepada ‘perkongsian strategik’.

Ismail Sabri berkata, beliau memberikan perhatian yang serius untuk memperkukuhkan hubungan dua hala di antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang.

Ini antaranya ekonomi, pelaburan dan perdagangan, tenaga boleh diperbaharui, sekuriti makanan serta minyak dan gas.

Perdagangan antara Malaysia dan UAE telah meningkat sebanyak 90.4 peratus untuk lapan bulan pertama 2022 iaitu AS$6.14 bilion (RM25.60 bilion).

“Semoga hubungan erat di antara Malaysia dan UAE terus diperkukuhkan pada masa depan,” katanya.

Media hari ini melaporkan Petronas Abu Dhabi, anak syarikat milik penuh Petronas, telah menandatangani perjanjian bersejarah dengan ADNOC.

Kedua-dua syarikat akan bekerjasama untuk meneroka dan menilai Unconventional Onshore Block 1 meliputi kawasan konsesi seluas 2,000 kilometer persegi di wilayah Al Dhafra.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Tengku Muhammad Taufik dan Menteri Industri dan Teknologi Maju UAE serta Pengarah Urusan dan CEO Kumpulan ADNOC, Dr. Sultan Ahmed Al Jaber.

Ia disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Presiden UAE. -MalaysiaGazette