Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail . Foto HAZROL ZAINAL

ROMPIN – Pengundi Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.42 Tioman dinasihatkan tidak mengalah sebaliknya bangkit dengan menambah satu lagi kedudukan kerusi DUN di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pengundi di sini seharusnya terus memberi sokongan kepada Datuk Seri Mohd Johari Hussain pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) bagi DUN Tioman esok.

Meskipun BN Pahang memperoleh 16 kerusi pada PRU15 lalu, kedudukan esok boleh menambah satu kerusi kepada BN jika pengundi tidak putus harapan kepada calon parti.

“Kita jangan lemah semangat, jangan down Kalau saya tak down kenapa yang lain nak down?

“Jangan down bangkit semula, kita buktikan DUN Tioman ini kita buktikan milik BN

“Jadi bangkit untuk terus sokong Datuk Seri Mohd Johari Hussain,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mempelajari pengalaman PRU15 baru-baru ini, beliau mencatur awal bagi terus membangunkan rakyat di negeri ini.

“Mungkin ada sestengah tempat kita letak calon awal dan bekerja awal untuk tempoh lima tahun dan akan diberi peruntukan.

“Kita dapat 16 kerusi tempoh hari, kena tambah satu lagi jadi 17. Malahan kalau ikut peratus kita bernasib baik, kerana masih lagi boleh jadi kerajaan,” katanya.

Katanya, para pengundi perlu bijak menentukan masa hadapan negeri ini dan barisan kepimpianannya akan terus melipatgandakan usaha untuk merampas kerusi pada PRU akan datang.

Esok, seramai 28,108 pemilih akan memilih di DUN Tioman.

Penyandang kerusi DUN Tioman, Datuk Seri Johari Hussain yang mewakili Barisan Nasional (BN) akan ditentang Nor Idayu Hashim (PN), Mohd. Fadzli Mohd. Ramly (PH), Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) dan Sulaiman Bakar (Bebas). – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Semangat Muafakat Nasional akar umbi amat kuat dan padu. Kepada barisan pemimpin PN hulurkanlah tangan kepada mereka, percayalah akar umbi Umno MN inilah yg telah memberi kemenangan kepada anda pada PRU lalu dan akan datang, teruskan berkhidmat. Jom ayuh semua akar umbi MN kita tumbangkan kerajaan minoriti PH/DAP!!!

Comments are closed.