Mohamed Sukri Omar

SHAH ALAM – Dewan Pemuda Pas Selangor (DPPS) mencabar negeri yang ditadbir Kerajaan Perpaduan agar mengharamkan aktiviti perjudian di negeri masing-masing.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, jadikan tiga negeri bawah pentadbiran Pas iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah konsisten dengan prinsipnya menghalang operasi perjudian.

“Jangan sibuk menuduh Perikatan Nasional (PN) menggunakan dana daripada perjudian untuk membiayai kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim, seorang Perdana Menteri, tidak sepatutnya mengeluarkan tuduhan jahat itu ke atas PN. Beliau sepatutnya menumpukan bagaimana untuk memulihkan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat.

“Bukan bermain dengan politik persepsi. Tuduhan ini adalah satu pembohongan besar yang tidak sepatutnya dibuat oleh seorang Perdana Menteri,” katanya selepas memberi keterangan di Balai Polis (IPD) Shah Alam, di sini, hari ini.

Semalam, selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet, Anwar dilaporkan membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian.

Menurut Mohamed Sukri, kalau benar Anwar serius hendak membanteras perjudian, beliau sewajarnya melakukan sebagaimana kerajaan Pas lakukan di tiga negeri itu.

Dalam perkembangan berkaitan beliau menempelak kerajaan campuran Pakatan harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak fokus kepada usaha membela kebajikan rakyat dan isu berkaitan kos sara hidup.

“Kita lihat kerajaan campuran hari ini sibuk mengheret musuh politik mereka dan kita juga minta supaya kerajaan ini fokus kepada kerja sebenar mereka sebagai sebuah kerajaan.

“Kalau setakat dan report polis saja kerja dia, elok dia jadi ayahanda Rani Kulup daripada menjadi sebuah kerajaan kerana sebuah kerajaan ini tugasnya begitu besar untuk mensejahterakan rakyat, bukan mengheret musuh politik,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sudah sampai masanya buat Non, PM yg sangat berkuasa untuk menghapuskan judi secara berperingkat2, natizen cadangkan Malaysia bebas judi 2030, ianya lebih realistic, jadikan negara lebih harmoni dan sejahtera.

Comments are closed.