Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA ROMPIN – Perikatan Nasional (PN) hari ini mengumumkan pelantikan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Cheka, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Ketua Pembangkang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

Pengerusinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah memberitahu, keputusan tersebut akan dimaklumkan kepada Speaker DUN secara bertulis dalam masa terdekat.

Selain itu, beliau juga akan memaklumkan kepada Speaker DUN Pahang pelantikan Ketua Whip bagi gabungan itu iaitu ADUN Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus.

“Kami akan cadangkan supaya jawatan Ketua Pembangkang DUN ini diberikan fungsi dan statusnya yang rasmi sebagaimana ada di DUN yang lain dan mengikut contoh yang ada di Dewan Rakyat,” katanya.

Datuk Seri Saifuddin Abdullah

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan Mesyuarat Khas Perikatan Nasional (PN) Pahang di sini hari ini.

“Banyaklah perkara yang dibincangkan. Tapi hari ini saya cuma nak umumkan pemilihan ketua pembangkan dan ketua WHIP,” tambah Saifuddin.

Ini merupakan pertama kali timbul cadangan supaya diwujudkan jawatan Ketua Pembangkang dan Ketua Whip di DUN Pahang selepas Barisan Nasional dan Pakatan Harapan membentuk Kerajaan Perpaduan selari dengan kerajaan pusat. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.