Rafizi Ramli.-Foto AFFAN FAUZI, 06 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menegaskan tiada usaha dirancang untuk membentuk Kerajaan Perpaduan sebelum sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sebaliknya, Menteri Ekonomi itu menjelaskan,  kenyataan Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution semalam telah diambil diluar pemahaman konteks dan menjadi salah faham.

Tambah beliau, apa yang cuba dinyatakan Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri tidak sampai kepada pembaca.

“Saya sudah tanya dia (Saifuddin) soalan itu semalam kerana sudah tentu ia akan timbulkan banyak tanda tanya kerana di peringkat Pakatan Harapan (PH) dan PKR memang tidak ada sebarang perbincangan sebelum PRU15.

“Memang keputusan secara strategi pilihan raya ialah untuk masuk dan menang 112 kerusi sekurang-kurangnya dan beliau menjelaskan sama ada kenyataannya itu disalah faham atau mungkin pandangan tiada usaha bentuk Kerajaan Perpaduan sebelum PRU15

“Konteks beliau ialah memang hubungan dari segi tidak mencari musuh politik dan menjalin kerjasama, menghormati hatta bersama UMNO sekali pun, itu memang diamalkan PKR dan PH sejak dari awal.

“Itu yang membolehkan dan memudahkan proses rundingan sehingga Kerajaan Perpaduan dapat ditubuhkan dalam masa yang cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada media selepas merasmikan persidangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 2021-2025 (RMK12) di Putrajaya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Saifuddin yang berkata Kerajaan Perpaduan yang menghubungkan parti kawan dan lawan iaitu Pakatan Harapan, Barisan Nasional serta parti-parti dari Sarawak dan Sabah berasaskan ‘kepercayaan dan hormat’ dan usaha melahirkan Kerajaan Perpaduan bermula sebelum PRU15. – MalaysiaGazette