Ahli keluarga mangsa yang hadir ketika sidang media mengenai mangsa tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2021 (SOSMA) sejak 23 Jun 2022 di Penjara Kajang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 07 DISEMBER 2022.

KAJANG – Tangkapan ke atas 32 orang individu yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) sejak enam bulan lalu menimbulkan persoalan kepada keluarga mereka.

Dari tarikh mula ditahan pada 23 Jun lalu, waris-waris tahanan mendakwa tiada sebarang pengumuman dibuat oleh pihak polis.

Rata-rata wanita yang suaminya ditahan mendakwa, mereka mengalami tekanan emosi, selain berdepan masalah kewangan.

Abe Ramehwary bercakap pada media mengenai mangsa tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2021 (SOSMA) sejak 23 Jun 2022 di Penjara Kajang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 07 DISEMBER 2022.

Isteri kepada salah seorang tahanan, Abe Rameshwary, 42, mendakwa suami dan empat sepupu masing-masing berusia antara 22 hingga 44 tahun ditangkap polis pada 23 Jun lalu.

Kelima-lima lelaki itu ditahan secara berasingan di sekitar Selangor antara jam 3.30 pagi hingga 5 pagi hari yang sama.

“Sehingga sekarang, kami tak tahu mereka ditahan atas kesalahan apa. Polis cuma memaklumkan suami ditahan reman 28 hari tetapi sehingga hari ini, dia masih dalam tahanan dan tidak dapat berjumpa keluarga.

“Kita pun tak tahu sama ada mereka (tahanan) masih hidup atau sudah mati, kita tak tahu. Saya tidak tahu apa kesalahan dilakukan suami sehingga diperlakukan demikian.

“Ini tidak adil. Saya akui tidak semua tidak bersalah, dan pernah buat kesilapan serta dipenjarakan. Tapi dia sudah insaf, kalau ada melakukan kesalahan sepatutnya bawa ke mahkamah untuk dituduh bukan ditahan sedemikian,” kata wanita yang berusia 42 tahun itu ketika ditemui pemberita di hadapan Penjara Kajang, hari ini.

Malakanan

Sementara itu, Malakanan berkata, sejak suaminya ditahan, dia mengalami tekanan kerana menanggung beban menguruskan syarikat pengawal keselamatan milik suami seorang diri dalam masa sama perlu membesarkan dua anak berusia setahun dan enam tahun sendirian.

Katanya, Sosma digubal untuk membendung keganasan, sedangkan suaminya bukan seorang pengganas.

“Saya merayu kepada kerajaan, tolong bebaskan semua ahli keluarga kami. Masyarakat akan pandang macam mana pula? Mereka bukan jahat, bukan gangster.

“Kalau mereka buat salah, dakwa mereka bawah Kanun Keseksaan, jangan terus kepada Sosma,” katanya lagi.

Abe dan Malakanan antara ahli keluarga yang berada di perkarangan Penjara Kajang bersama wakil Suara Rakyat Malaysia (Suaram) berhimpun menuntut supaya Sosma dimansuhkan.

Koordinator Hak Untuk Dibicarakan Suaram, Azura Nasron mendesak kerajaan untuk memansuhkan Sosma yang disifatkan sebagai undang-undang zalim dan menganiaya tahanan yang tidak bersalah.

Katanya, penggunaan akta berkenaan menidakkan hak mereka dan ia perlu dimansuhkan.

Shalvin Kanvinchelvan

Peguam kepada salah seorang tahanan Sosma, Shalvin Kanvinchelvan berkata, pihaknya telah menerima tarikh perbicaraan bagi kes anak guamnya iaitu pada 15 hingga 19 Julai; 19 hingga 23 Ogos; dan 23 hingga 27 September 2024.

Katanya, anak guamnya akan didakwa mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan atas kesalahan membabitkan kegiatan jenayah terancang.

Untuk makluman, menurut Seksyen 4 (1) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012,  penangkapan dan penahanan mana-mana orang yang berkenaan dengannya boleh dilakukan oleh polis tanpa waran, atas sebab untuk mempercayai terlibat dalam kesalahan keselamatan.

Tahanan boleh ditahan untuk tempoh selama 24 jam bagi maksud penyiasatan namun, tempoh siasatan boleh dilanjutkan tidak lebih dari tempoh 28 hari bagi membantu penyiasatan.  – MalaysiaGazette