KUALA LUMPUR – MIC tidak akan menerima jawatan Timbalan Menteri sekiranya parti itu menerima tawaran daripada Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung MIC, RT Rajasekaran berkata, ia diputuskan menerusi mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat MIC (CWC) yang dipengerusikan Presiden parti, Tan Sri SA Vigneswaran, hari ini.

“MIC mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10. MIC juga merakamkan sokongan kepada titah Yang Di-Pertuan Agung bagi menyokong kerajaan Perpaduan.

“Bagaimanapun MIC menghormati pilihan pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lepas, mengambil kira perkara itu mesyuarat CWC tadi membuat keputusan untuk tidak menerima sebarang jawatan sebagai Timbalan Menteri dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan. 

“Semoga Perdana Menteri dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan sempurna serta adil untuk semua kaum di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Setiausaha Agung MIC, RT Rajasekaran

Baru-baru ini calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi parlimen Padang Serai, Datuk Sivarrajh Chandran disebut-sebut akan dilantik sebagai Timbalan Menteri berikutan tindakannya memberi laluan kepada calon Pakatan Harapan (PH) dalam merebut kerusi itu.

Ahli Dewan Negara, Datuk Nelson Renganathan turut dikaitkan dengan pelantikan Timbalan Menteri.

Menurut Rajasekaran, MIC bersedia bekerjasama dengan Perdana Menteri dan juga Menteri Sumber Manusia dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan kaum India. – MalaysiaGazette

Sivaraj akan dipertimbang peranan dalam kerajaan perpaduan – Saifuddin Nasution