Air mengalir deras di Bandar Karak, Bentong.

KUANTAN – Beberapa kawasan di Pahang dilaporkan mula dinaiki air ekoran hujan lebat sejak malam tadi.

Menerusi beberapa video dan gambar yang dikongsi di laman media sosial memaparkan semakin banyak jalan raya dan kediaman penduduk terjejas.

Antara kawasan yang terjejas adalah pekan Karak, Bentong; Kampung Lubuk Kulit, Kuala Lipis; Cheroh, Raub dan Kampung Razali di Kuantan.

Semalam, Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura dalam hantaran di laman media sosialnya mengesahkan air mula naik di kawasan Agro Chemomoi, Bentong.

“Saya telah dimaklumkan pada petang tadi berkenaan dengan keadaan banjir di kawasan berdekatan Agropolitan Chemomoi.

“Keadaan jalan di Agropolitan Chemomoi telah dinaiki air berpunca daripada limpahan sungai di kiri dan kanan jalan dari aliran Sungai Triang,” katanya.

Sebelum itu, Young Syefura memberitahu, beliau telah meninjau kawasan Felda Kemahal, Kampung Hayat, Kampung Semerting dan Kampung Baru Manchis di Pelangai yang dinauki air.

“Punca utama adalah daripada sistem perparitan yang tidak sempurna. Perkara ini saya akan bawa kepada perhatian pihak berwajib seperti JPS dan JKR,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sistem Siren Amaran Banjir di Kampung Peruas, Ulu Dong di Raub diaktifkan semalam selepas air sungai melepasi paras amaran.

Setakat semalam, tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Pahang bagi menempatkan 134 mangsa banjir dari daerah Raub dan Lipis.

PPS dibuka di Surau Kampung Peruas, Pusat Pemindahan Kampung Pamah Rawas, Balai Raya Kampung Pamah Kulat, Kampung Keloi, Kampung Jenud dan Ulu Atok di Raub dengan 117 mangsa daripada 25 keluarga.- MalaysiaGazette