Ketua Polis Daearah Kuantan, ACP Wan Zahari Wan Busu menunjukkan motosikal yang dirampas dalam kes kecurian motosikal di Jaya Gading, Kuantan dan Temerloh

KUANTAN – Dua anggota ‘Geng Udin’ yang mencuri motosikal jemaah masjid ketika mereka menunaikan solat subuh di sebuah masjid di Jaya Gading, di sini, ditahan polis pada 29 November lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Zahari Wan Busu berkata, kedua-dua lelaki berusia 29 dan 44 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah pondok kosong di Jaya Gading.

“Turut dirampas semasa serbuan adalah sebuah motosikal yang dicuri dan dua buah lagi motosikal yang dilaporkan hilang di daerah Kuantan dan Temerloh,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Tambah beliau, sebuah kereta yang dipercayai diguna suspek untuk melakukan kegiatan intipan sebelum mencuri turut dirampas selain sebatang spanar yang telah diubahsuai.

“Kejadian pertama dilaporkan pada 11 November lalu membabitkan mangsa berusia 51 tahun kehilangan motosikal ketika menunaikan solat subuh di masjid berkenaan, sama seperti mangsa kedua berusia 42 tahun dalam kejadian 29 November,” jelasnya.

Jelas Wan Zahari, suspek dipercayai masuk ke kawasan masjid tersebut menaiki sebuah kereta dan akan memerhati pergerakan jemaah sebelum melarikan motosikal mereka.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa menanggung kerugian berjumlah RM6,000 di atas kehilangan motosikal terbabit.

“Kedua-dua suspek merupakan penganggur juga mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan narkotik,” kata Wan Zahari.

Beliau berkata, kedua-dua suspek terbabit akan dituduh di Mahkamah Kuantan esok di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Tambah beliau, dengan tumpasnya Geng Udin, polis Kuantan berjaya menyelesaikan dua kes curi motosikal di daerah Kuantan dan Temerloh.

Sementara itu, Wan zahari berkata, terdapat 129 kes berkaitan curi motosikal yang direkodkan di sekitar bandar ini bermula awal tahun sehingga November lalu yang mana 54 kes telah diselesaikan. – MalaysiaGazette