Saksi yang merupakan bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping hadir pada perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan ke-41 perbicaraan penyewelengan dana RM2.3 billion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan Datuk Seri Najib Razak hari ini memberitahu mahkamah yang beliau sangat rapat dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Malah bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping berkata, Jho Low seringkali menjemputnya menghadiri mesyuarat di kediamannya yang terletak di Jalan Kia Peng.

Selain beliau, mesyuarat yang sama juga disertai oleh beberapa rakan perniagaan rapat Jho Low.

Ketika sesi soal balas oleh peguambela yang mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hari ini, Joanna berkata, beliau telah diperkenalkan kepada Jho Low oleh oleh Pengarah Perhubungan Perbankan Ambank ketika itu, Chan Wan Seong.

“Saya telah berurusan dengan Jho Low untuk kali pertama berkaitan pinjaman oleh syarikat pegangan pelaburan, Majestic Masterpiece Sdn Bhd,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Muhammad Shafee ketika soal balas itu juga bertanya adakah keakraban saksi dengan Jho Low hanya sekadar pegawai bank berurusan dengan penggunanya.

Shafee: Saya syor kepada anda, hubungan anda dengan Jho Low itu rapat sebagai pegawai bank dan rakan sahaja? Tidak ada hubungan tidak wajar tetapi anda rapat dengannya?

Joanna: Ya betul.

Shafee: Anda berurusan di luar waktu pejabat?

Joanna: Saya bersama pegawai juga adakan pertemuan dan mesyuarat luar waktu pejabat di apartmen beliau di Jalan Kia Peng.

Dalam pada itu, Joanna Yu juga mendedahkan Jho Low sering menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan surat jaminan kerajaan untuk mendapatkan pinjaman bagi pihak Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

“Kata Jho Low kepada bank, TIA adalah syarikat dana berdaulat yang diilhamkan Sultan Mizan.,” ujarnya.

Prosiding akan bersambung Isnin pagi dengan Joanna akan terus disoal balas Muhammad Shafee.

Pembelaan juga telah mendedahkan pasukan mereka memerlukan masa seminggu bagi sesi pemeriksaan balas dengan Joanna yang telah telah mengendalikan akaun milik bekas Perdana Menteri itu. 

Joanna telah selesai menghadapi pemeriksaan utama yang telah memberi keterangan bagaimana akaun peribadi Ambank milik Najib dibuka dan bagaimana Jho Low telah menghubungi AmBank pada 2009 untuk penerbitan bon RM10 bilion dengan tempoh 30 tahun untuk TIA.

Najib sedang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya menerima suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram. -MalaysiaGazette