Johor kini dalam pertimbangan menentukan kesesuaian pindaan waktu pembelajaran kelas darjah khas Sekolah Agama Kerajaan Negeri daripada Sabtu kepada Khamis.- Gambar hiasan.

ISKANDAR PUTERI – Johor kini dalam pertimbangan menentukan kesesuaian pindaan waktu pembelajaran kelas darjah khas Sekolah Agama Kerajaan Negeri daripada Sabtu kepada Khamis.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, kajian itu bagaimanapun akan mengambil kira pelajar kelas darjah khas merupakan pelajar sama berada di tingkatan satu atau mereka yang tinggal asrama.

Ini kerana pindaan melibatkan kelas darjah khas yang dibuat kepada Khamis itu dijangka boleh menimbulkan isu ketiadaan guru.

“Sekiranya ia dipinda pada Khamis, ia akan menimbulkan masalah ketiadaan guru setelah guru yang ada menjalani sesi pembelajaran dan pengajaran di Sekolah Agama Kerajaan Johor.

“Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menyambut baik pandangan yang diutarakan dan akan membuat kajian kebolehlaksanaan pindaan waktu pembelajaran kelas darjah khas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan persidangan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.

Mohd. Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah berkata, JAINJ dalam usaha menambah baik skim perjawatan guru bagi menetapkan minat guru untuk terus berkhidmat di Sekolah Agama Kerajaan Johor.

Katanya, kerajaan negeri sedar pada tahun ini berlakunya perpindahan guru Sekolah Agama Kerajaan Johor ke Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Hal ini berlaku berikutan ramai dalam kalangan guru agama kita merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang melayakkan mereka berkhidmat sebagai guru di KPM.

“Justeru, bagi menetapkan minat para guru agama kita untuk terus berkhidmat di Sekolah Agama Kerajaan Johor, JAINJ sedang dalam usaha menambah baik skim perjawatan guru dengan menimbal guna sistem kenaikan pangkat ‘time based’ berasaskan kecemerlangan (TBBK),” katanya.

Tambahnya, menerusi sistem TBBK yang diguna pakai di sekolah KPM, guru yang bergred DG29 hanya memerlukan tempoh lapan tahun untuk kenaikan gred DG32 berbanding 10 tahun sebelum ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast