Wan Rosdy Wan Ismail bersama Mohd Johari Hussain

KUANTAN – Kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Pahang kini seri selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) DUN Tioman semalam.

Bagaimanapun jumlah 17 kerusi DUN yang sama antara mereka memberi kelebihan kepada BN yang mempunyai kad penentu kerana masih menerajui kerajaan negeri bersama Pakatan Harapan (PH).

Penganalisis politik merangkap Pensyarah Kanan Universiti Islam Sultan Haji Ahmad Shah (UNiPSAS), Wan Emril Nizam Wan Embong  berkata, kemenangan BN di DUN Tioman itu menunjukkan sokongan rakyat terhadap kepimpinanan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Tentunya kredibiliti Menteri Besar Pahang dan barisan Kabinet menjadi sandaran untuk mempamerkan kualiti khidmat yang cemerlang kepada rakyat.

“Sungguhpun PRU15 kali ini sebenarnya membawa kepada transisi yang baik dalam revolusi demokrasi dalam konteks senario politik di Malaysia.

Wan Emril Nizam Wan Embong.

“Lantikan Exco 10 daripada BN dan dua dari PH termasuk kuota Speaker Dewan Negeri serta ADUN Lantikan yang dimiliki menjadi BN kekal kukuh mentadbir bersama PH,” katanya hari ini.

Tambah Wan Emril, kini agenda pembangunan dan khidmat kepada rakyat menjadi ‘ujian litmus’ dan kayu ukur yang rakyat tetapkan bagi menilai sejauh mana kerjasama harmoni Kerajaan Perpaduan mampu menterjemahkan prestasi khidmat dan bakti mampu direalisasikan.

“Walaupun peratusan turun mengundi agak berkurangan di DUN Tioman  berbanding sebelum ini sekitar 57 peratus namun ia manifestasi kerjasama awal BN dan PH diterima rakyat khusus di Pahang,

“Selain itu, faktor ketokohan dan kepimpinan teraju Menteri Besar Pahang menyelesaikan isu-isu dan hutang tertunggak melibatkan kepentingan rakyat di Tioman juga antara faktor kemenangan selain daripada calon PH yang memberi laluan kepada BN,” katanya lagi.

Wan Emril berkata ia signal awal bahawa kerjasama penjajaran baru  boleh dikembangkan dalam bentuk strategik ke arah menarik sokongan pengundi Melayu-Islam pada masa akan datang.

Keyakinan yang terjelma daripada kerjasama BN-PH mewujudkan kestabilan seterusnya memangkin kemakmuran bagi menyelesaikan isu permasalahan yang melingkari titik bengik kepentingan rakyat.

“Contohnya, seperti kos sara hidup, ekonomi tempatan, bekalan air dan isu-isu lokaliti yang dibangkitkan dalam kempen PRU 15 yg telah melabuhkan tirainya.

“Jadikan majoriti 573 di DUN Tioman itu bermakna, kini masa untuk bekerja bagi wakil-wakil yang  terpilih dan menunaikan janji selaras dengan slogan ‘Tiada Janji Lihat Bukti!’. – MalaysiaGazette