Muhammad Azeem Mohd Fahmi.

PETALING JAYA – Pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi akan ke Amerika Syarikat (AS) dengan berbekalkan semangat dan mentaliti juara bagi memastikan beliau kekal fokus serta bertahan untuk mencapai misinya sepanjang empat tahun menyambung pengajian di negara itu.

Raja pecut Sukan Malaysia (Sukma) berusia 18 tahun dari Perak yang akan berangkat pada 1 Januari depan ke Universiti Auburn, Alabama di Amerika Syarikat itu mahu memastikan pengorbanan zaman mudanya bertungkus lumus menempa nama dalam arena olahraga berbaloi.

“Saya rasa tidak jadi masalah sebab universiti juga sudah janji untuk menjaga segala kebajikan sepanjang di AS, selain berkemungkinan akan diberikan peluang untuk pulang ke tanah air sekali setahun untuk tempoh panjang iaitu satu bulan.

“Tahun ini sudah banyak pengorbanan saya lakukan seperti tidak sambut Aidilfitri dan Aidiladha bersama ahli keluarga, jadi saya mahu pastikan segala pengorbanan ini berbaloi. Mungkin akan ada beberapa halangan di sana (AS) namun semangat saya untuk menjadi juara lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pengumuman barisan atlet negara yang tercalon dalam Top 5 kategori Anugerah Ikon Sukan (AIS) di Hotel Le Meridien, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Muhammad Azeem berkata beliau berpuas hati dan bangga dengan pencapaiannya sepanjang menggalas cabaran Malaysia ketika menyertai kejohanan di dalam dan luar negara, namun tidak mahu selesa dalam kedudukannya kini.

“Saya berpuas hati dengan pencapaian musim ini dan bersemangat untuk tahun hadapan. Insya-Allah akan cuba yang terbaik untuk menjadi atlet Malaysia pertama mencatat rekod larian di bawah 10 saat (s) dan layak ke acara 100 meter (m) Sukan Olimpik.

“Empat tahun di sana bukanlah lama bagi saya kerana ada sasaran tersendiri. Sasaran pertama saya ialah layak ke Kejohanan Dunia agar dapat layak ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, namun perlu pastikan saya berlari bawah 10s,” katanya.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat di Ipoh itu meraih keputusan 6A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), berjaya menduduki tempat kelima dalam acara 100m semasa Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia pada Ogos lepas.

Seterusnya, beliau mencipta kejutan memecahkan rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.09 saat (s) (dalam saringan) di Cali, memadam rekod lama 10.18s yang dilakar bekas jaguh pecut Asia Tenggara Khairul Hafiz Jantan. – Bernama