ringgit
Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin tahu beliau tidak akan menjadi Perdana Menteri sekiranya menerima cadangan untuk membentuk Kerajaan Perpaduan dengan Pakatan Harapan (PH).

Sedangkan, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sudah mencanangkan kepada rakyat dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bahawa beliau adalah Perdana Menteri jika PN mendapat majoriti mudah atau dua pertiga kerusi Parlimen.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berkata, menyedari impiannya hendak menjadi Perdana Menteri tidak tercapai dan sekadar sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau menolak cadangan itu dan kekal sebagai pembangkang.

“Jika Kerajaan Perpaduan dibentuk antara PH dengan PN sudah tentu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang layak menjadi Perdana Menteri dan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Ini wajar kerana PH mendapat 82 kerusi Parlimen, sedangkan PN hanya 73 kerusi, tetapi apabila ini berlaku, beliau tidak terima cadangan berkenaan dengan alasan tidak bertepatan dengan pendirian PN.

“Pendirian PN ialah jika menang PRU15, beliaulah Perdana Menteri, bukan Timbalan Perdana Menteri,” katanya dalam wawancara dengan NRChannelTV semalam.

Menurut Isham, selepas cadangan itu tidak diterima, Yang di-Pertuan Agong memanggil Barisan Nasional (BN) supaya bergabung dengan PH dan berakhirlah kemelut pembentukan kerajaan yang tertangguh selama empat hari.

Selepas keputusan PRU15 diumumkan malam 19 November lalu, keesokan hari Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memuktamadkan untuk menjadi pembangkang.

“Ketika itu memang BN nak jadi pembangkang, tetapi tidak boleh kerana kita akur dengan titah Tuanku supaya BN dengan PH bentuk kerajaan tanpa PN,” katanya. – MalaysiaGazette